Sunday, March 12, 2006

Novel yang akan terbit..istimewa

“Bagus. Abang suka cara awak menyatakan pendirian. Awak ada prinsip tersendiri. Awak memang seorang yang istimewa,” kata-kata Kamal menyentuh hati Haura.
“Istimewa? Ikhlaskah dia berpandangan begitu terhadapku?” detik hati Haura.
“Atau dia sahaja memperli diriku?” Haura masih berteka-teki.
“Oh ya. Abang hendak menyambung pertanyaan tadi. Apakah istimewanya seorang perempuan?” Abang Kamal cuba mengorek isihati Haura.
“Soalan yang mencabar,” komen Haura pantas. Dia tidak terus menjawab kerana padanya soalan itu memang mengelirukan. Banyak aspek yang perlu dikaji. Adakah dia perlu menjawab sebagai seorang perempuan ataupun pandangannya ke atas seorang perempuan? Keliru. Sungguh mengelirukan!
“Saya rasa perempuan adalah seorang yang membosankan. Perlu sentiasa ada sifat malu, lemah-lembut dan penuh kepura-puraan,” luah Haura. Kamal tidak terus menjawab. Dia tersenyum meleret membuatkan Haura ternanti-nanti bait-bait perkataan seterusnya.
“Yang pertama dan kedua, abang bersetuju. Tetapi nampaknya yang ketiga itu, perlu diterangkan dengan lebih lanjut,” Kamal membalas.
“Mengapa pula?” Haura tersentak.
“Adakah benar perempuan bersifat kepura-puraan?” Kamal inginkan penjelasan.
“Benar. Bersifat malu di hadapan lelaki tetapi hipokrit. Tidak menampakkan sifat sebenar. Suka pula mengumpat dan mengalah kepada lelaki,” tegas kata-kata Haura.
“Seorang perempuan wajib mempunyai tiga sifat iaitu malu, kedekut dan cemburu,” terang Kamal. Haura memandang wajah Kamal. Dia tidak pernah mendengar kata-kata demikian. Kamal bangun dan kakinya menguis daun-daun kering di belakang rumah itu.


Kisah ini dipetik dari novel remaja terbaru yang bertajuk “Haura Harry”. Tunggu kemunculannya nanti dan bacalah kisah ini seterusnya. Sebuah novel yang menceritakan kisah seorang tomboy tetapi akhirnya insaf. Kembali ke fitrahnya, seorang perempaun sesudah menyedari betapa istimewanya dilahirkan sebagai seorang perempuan. Seorang perempuan yang sangat mendambakan kasih-sayang dan perlindungan. Abang Kamal adalah lelaki yang memberinya semangat untuk berubah. Abang Kamal merupakan sumber inspirasinya. Ikuti kisah selanjutnya…

Para remaja sekelian, jangan lepaskan peluang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 bermula 24 Mac 2006 hingga 2 April 2006 di PWTC Kuala Lumpur. Dapatkan buku-buku hebat yang diterbitkan oleh PTS Publication & Dist.

Monday, March 06, 2006

Terfikir-fikir...

Tiba-tiba terfikir untuk mencari maklumbalas dari beberapa pihak. Selepas berbincang dengan mentor tersayang, saya dan suami bercadang menulis satu set buku motivasi dengan tema berikut:
1) Kisah Budak Gemuk - dilema yang dilalui oleh remaja gemuk. Di sini cerita ini diharap dapat memberi semangat kepada mereka yang gemuk bahawa tubuh bukanlah halangan hendak berjaya. Kejayaan adalah dari dalam diri dan diiringi doa. Tetapi AWAS..bagi yang gemuk haruslah ada niat hendak menurunkan berat badan supaya penyakit sukar hinggap pada diri kita. Kami juga memberi beberapa petua ringkas bagi remaja hendak menurunkan berat badan. Terdapat kaedah diajar bagi pelajar yang ingin menubuhkan kumpulan belajar "Study group" supaya tidak menjadi Bollywood.com. Apa itu Bollywood.com? Haa..Apabila buku ini siap dan berada di pasaran, bolehlah anda semua mendapat jawapannya...Tungguuu

2)Kisah Anak Mangsa Cerai- walaupun anda merupakan anak mangsa perceraian, itu bukanlah satu halangan hendak berjaya di dalam hidup. Kisah ini merupakan satu kisah benar bagaimana seorang remaja perempuan yang menderita kerana perceraian ibubapanya sewaktu dia berumur lapan tahun. Tetapi masih boleh berjaya. Jangan mudah merendah diri..Kisah ini membantu remaja yang pernah mengalami nasib yang sama agar jangan mudah terjerumus ke dalam lembah yang hina kerana kecewa dengan ibubapa.

3)Kisah Anak Angkat- Anak angkat juga boleh berjaya walaupun mengalami dilema yang hebat. Kasih sayang terjadi di mana-mana asalkan ada keihklasan. Bukan semestinya datang dari ibubapa sendiri sahaja. Sekiranya anda baru mengetahui anda adalah anak angkat, jangan terus melarikan diri jauh dari keluarga angkat. Kisah ini juga satu kisah benar..Belum mula tetapi plot sudah ada...

4)Kisah Budak Berpenyakit - jangan berputus asa sekiranya anda berpenyakit. Kejayaan tetap milik anda. Kisah benar seorang remaja lelaki yang berpenyakit dari kecil dan menjadi yatim piatu tetapi tetap tegal di dalam menempuh hidup. Ini pun belum mula tetapi plotnya sudah ada..Alamak! Tidak cukup tangan dibuatnya. Sempatkah siap dalam tahun ini? Janganlah sifu marah..HeHehehe..

5) Kisah Budak Lembik- dia bukan berpenyakit tetapi lembik dan selalu diejek kawan-kawan. Tetapi dia berjaya membuktikan dia berjaya mendapat 5A di dalam UPSR dan 9A 3B di dalam UPSRI. Hebat bukan? Jangan ingat orang yang lembik tidak dapat berjaya. Dan sekarang dia akan buktikan dia juga hebat seperti orang lain dan dia memang sudah aktif di sekolah. Seorang pelukis yang hebat dan bercita-cita menjadi seorang pereka dalaman..pakar lagi.

6) Kisah terakhir...Kisah Budak Lelaki Lembut- Ini kisah sensasi. Sudah menjadi satu trend yang kurang sihat di kalangan remaja kita. Krisis identiti?? Mana mungkin lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya. Kisah ini adalah kisah benar juga. Buku ini membantu remaja yang mengalami masalah ini agar berubah dan menyedari betapa hebatnya dijadikan sebagai lelaki. Apa ada pada lelaki? Banyak kelebihannya. Kita lihat nanti bagaimana perasaannya terhadap perempuan..sebenarnya tetap ada kerana itu adalah fitrah manusia.

Jadi? Ini adalah perancangan dan kami sedang menulis episod-episod yang berkaitan. Remaja yang ada idea, sila tinggalkan mesej anda. Atau anda ada kisah-kisah menarik untuk dikongsi bersama? Beritahu kami..

Wednesday, March 01, 2006

Hadiah Buat Remaja- Novel Motivasi

Selamat Datang ke blog Mutiara Buat Remaja

Setiap hari saya sudah mula menulis selepas mendapat bimbingan dari mentor tersayang, Sifu PTS Puan Ainon Mohd. Dan saya berasa gembira kerana usaha saya kini sudah menjadi REALITI..Buku-buku yang saya fokuskan adalah mengenai remaja. Novel-novel motivasi mengisahkan bahawa setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri. Walaupun rintangan dan dugaan melanda, namun setiap insan berpeluang mengharungi hidup dan mendapat kedudukan yang lebih baik.