Thursday, November 11, 2010

Tip Survival Penerbit: Strategi Relaunch dengan Memperkenalkan Edisi 1+1 (dipetik dari blog Universiti Terbuka PTS- Pn. Ainon)

Strategi 'relaunch' atau 'luncur-semula' adalah amalan yang biasa dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbitan.
PTS ONE Sdn. Bhd., penerbit sastera kanak-kanak remaja yang paling aktif dalam pasaran, kini giat melakukan relaunch karya penulis-penulis popularnya dengan memperkenalkan "Edisi 1+1".
Bagi Edisi 1+1 ini, 2 buah novelet karya pengarang yang sama diterbitkan dalam 1 buku, supaya ia lebih tebal, kerana pembeli novel-novel Melayu sekarang ini mahukan buku-buku yang tebal.
Novel "G.I.M - Gemuk Itu Menarik" karya Puan Ida Rizyani adalah dwilogi novel yang sama dan novel "Elegi Tupai dan Sepet" yang pernah diterbitkan (cover di bawah).
Salah satu harta syarikat penerbitan adalah apa yang disebut 'back titles' atau 'judul lama'. Semakin banyak jumlah back titles yang dimiliki, semakin kaya syarikat penerbitan itu kerana back titles adalah sumber keuntungan.
Bukan semua back titles menjadi 'harta' syarikat. Hanya back titles yang evergreen sahaja yang menjadi harta, baik kepada penerbit mahupun kepada penulisnya.
Sebelum ini PTS meluncurkan semula siri 'Aku Mahu...' oleh Puan Ain Maisarah dan siri 'Dear Yayah' oleh Puan Farihah Iskandar dalam bentuk koleksi premium yang mahal. Meskipun mahal, kedua-duanya laku keras.
Strategi relaunch sangat menguntungkan penulis kerana ia menjadi sumber royalti baru daripada karya lama mereka. Inilah salah satu faktor mengapa para penulis perlu menulis dengan konsep siri dalam perancangan mereka. Judul-judul bersiri mudah diluncurkan semula ke dalam pasaran dengan diberikan pakejing baru.