Monday, September 24, 2007

Sedutan Kisah dari novel GIM..Gemuk Itu Menarik

Puasa Pertama


Puan Fatehah sudah membeli lauk-pauk yang agak istimewa kerana esok atau lusa bulan puasa bermula. Sudah tentu Najwa mempunyai pelbagai permintaan kerana tahun itu merupakan tahun pertama Najwa akan berlatih berpuasa.


“Esok kita berpuasakah, ibu?” tanya Najwa inginkan kepastian.
“Ibu pun tidak tahulah. Nanti kita tunggu pengumuman di dalam televisyen,” balas Puan Fatehah yang sedang melipat kain. Encik Nordin sedang khusyuk membaca akhbar dan sesekali menjeling ke arah televisyen yang sedang ke udara itu.
“Kamu hendak berpuasa esok?” tanya Encik Nordin.


“Teringin hendak cuba. Ibu kata sekiranya saya tamat puasa tahun ini, ibu akan membelikan saya basikal baru,” dengan penuh semangat Najwa memberitahu ayahnya.
“Laratkah kamu itu menahan lapar? Selalunya terlewat makan sahaja, sudah mengadu pening kepala,” Encik Nordin tergelak kecil.
“Ayah lihatlah nanti. Saya mampu habiskan puasa tahun ini,” tingkah Najwa dengan tegas.


“Baguslah azam kamu itu. Cuma jangan hangat-hangat tahi ayam,” pesan Encik Nordin.
“Saya cuba, ayah,” janji Najwa. Najwa mendapatkan Nadia yang sedang bermain anak patungnya. Mereka berdua bermain bersama dan Nadia cukup gembira apabila kakaknya bermain bersamanya.
“Sebentar lagi adalah pengumuman tarikh permulaan puasa pada tahun ini,” pembaca berita memaklumkan.


“Kamu berdua diam sekejap. Kita dengar bilakah hari mula berpuasa,” arah Puan Fatehah kepada anak-anaknya. Najwa terdiam dan matanya memfokuskan ke arah televisyen.
“Tarikh permulaan 1 Ramadhan adalah pada hari esok bersamaan...,” belum sempat pengumuman tamat, Najwa sudah menjerit gembira.
“Hooray! Esok mula berpuasa,” laung Najwa membuatkan Nadia tersentak. Terkebil-kebil Nadia melihat tingkahlaku kakaknya itu.


“Malam ini tidur awal kerana pagi esok kita bersahur. Ibu gerakkan kamu pukul lima pagi,” arah Puan Fatehah.
“Mengapa lewat sangat? Nanti tidak sempat hendak makan,” protes Najwa.
“Nabi Muhammad kata akhirkan waktu sahur kerana banyak kebaikannya tetapi berbuka puasa mesti disegerakan,” terang Puan Fatehah. Najwa mengangguk-angguk tanda faham. Dia berazam supaya dia dapat menghabiskan puasa pada keesokan harinya. Dia tidur awal pada malam itu atas arahan ibunya.


"Bangun cepat. Kita bersahur," tiba-tiba Najwa merasakan badannya digerakkan.
"Mengantuklah, ibu," sahut Najwa seraya menguap.
"Selepas sembahyang Subuh nanti, kamu sambung tidur," balas ibunya. Najwa akur. Dia bangun dan menuju ke dapur. Dia lihat ayahnya sudah menunggunya di meja makan. Ditenungnya lauk-pauk yang dihidangkan ibunya.


"Apa lagi yang dimenungkan itu? Cepat makan,"sergah Encik Nordin. Najwa tersentak. Diambilnya lauk yang berdekatan dengan pinggan nasinya.
"Makan sayur banyak-banyak. Elok untuk kesihatan," celah Puan Fatehah yang melihat kerenah anaknya itu. Najwa tidak membantah. Encik Nordin mengambil ayam goreng kegemaran anaknya dan meletakkan ke dalam pinggan Najwa.
"Sedapnya ayam ini," mata Najwa terbuka agak luas.


"Kamu ini, hantu ayam. Pantang melihat ayam, terus terbuka selera," gumam Puan Fatehah.
"Jangan makan banyak waktu sahur ini. Sayur dan buah-buahan tidak mengapa," Puan Fatehah terus mengingatkan Najwa. Najwa makan dengan penuh selera dan sebaik sahaja nasinya sudah habis, dia bangun menuju ke sinki membasuh tangan.


"Kenyangnya perut saya," Najwa berkata sebaik sahaja menghabiskan air minumannya.
"Ayah sudah pesan. Minum air sebelum makan," Encik Nordin menjeling ke marah ke arah Najwa. Najwa segera menuju ke ruang tamu. Takut ayahnya terus membebel.
"Selepas solat nanti, tidur semula," pesan Puan Fatehan sesudah membasuh pinggan-mangkuk yang kotor. Najwa yang kekenyangan tidak menyahut. Mujurlah hari puasa pertama jatuh pada hari Ahad. Selepas menunaikan solat Subuh, Najwa terus menghempaskan dirinya di atas katil. Kira-kira jam sepuluh setengah pagi, Najwa terjaga dari tidurnya apabila terdengar suara adiknya, Nadia terjerit-jerit memanggil ibu mereka.


"Kacau sungguh si Nadia ini. Orang hendak tidur pun, tidak senang," rungut Najwa. Perlahan-lahan Najwa bangun dan melihat ke luar tingkap. Kelihatan ayahnya sedang membasuh kereta. Apabila dilihat ayahnya yang sedang memberus tayar, Najwa terus berlari ke luar, hendak membantu ayahnya.


"Ayah, saya hendak tolong," Najwa menawarkan dirinya.
"Tidak perlu. Nanti penat, kamu pula haus. Hari inikan puasa," larang Encik Nordin.
"Tidak mengapa. Sedikit sahaja," Najwa memancutkan air ke arah kereta ayahnya itu. Diambilnya span dan dia menggosok pintu kereta. Dia menyanyi-nyanyi kecil.
"Ayah tidak mahu mendengar kamu merungut lapar atau dahaga selepas ini," Encik Nordin seolah-olah terus memberi amaran.
"Dijamin seratus-peratus," Najwa memberi keyakinan.
"Bagus," jawab ayahnya sepatah. Najwa terus membantu ayahnya tanpa mempedulikan Nadia yang masih merengek-rengek.
"Bisinglah adik," rungut Najwa.


"Bukannya kamu tidak tahu. Inikan masanya dia makan," jelas Encik Nordin.
"Oh ya. Terlupa pula saya. Ibu masak apa untuk Nadia?" tanya Najwa kepada ayahnya.
"Biasalah. Nasi bubur campur ayam dan lobak," terang Encik Nordin. Hati Najwa tersentak. Ayam. Detik hatinya.
"Tolong sembur air ke atap kereta. Selepas itu, kamu tutup paip air. Ayah hendak mengelap kereta dan menjemurnya," Najwa mendengar kata-kata ayahnya dengan teliti. Sebaik sahaja, dia selesai membantu ayahnya, Najwa berehat di atas kerusi panjang.
"Penatnya," rungut Najwa. Dia menggeliat dan bangun menuju ke dapur. Dibukanya peti ais dan mengambil air oren kegemarannya. Diminumnya air oren sehingga habis.
"Kamu sudah berbuka puasa?" tiba-tiba terjengul wajah ibunya, separuh menjerit. Najwa terpinga-pinga.


"Saya terlupa," Najwa terus cuba mengorek kerongkong supaya air yang diminumnya tadi dapat dikeluarkan.
"Apa yang kamu buat itu?" soal ibunya.
"Bukankah puasa? Saya tidak mahu berbuka puasa. Saya terlupa tadi," jelas Najwa.
"Tidak perlu berbuat begitu. Tidak mengapa kerana kamu lupa," Puan Fatehah menjelaskan kepada anaknya. Mata Najwa berair akibat menjolok kerongkongnya.
"Pergilah berehat. Hari semakin tengahari, nanti mulalah lapar dan dahaga lagi," nasihat Puan Fatehah.


"Sedapnya bau bubur Nadia," komen Najwa.
"Jangan duduk di dalam dapur. Pergi mandi dan berehat," Puan Fatehah bimbang Najwa akan menghabiskan nasi bubur adiknya pula.
"Petang nanti, ibu masak sedap-sedap ya. Saya hendak makan ayam goreng pedas, ikan bakar dan sayur kangkung," Najwa membuat pesanan.
"Air bandung ya, ibu," pinta Najwa lagi.
"Kamu ingat ini restoran?" sergah ibunya.
"Kuih lompat tikam dan karipap jangan lupa," Najwa tidak sabar-sabar lagi menunggu waktu berbuka puasa.


"Banyaknya permintaan tuan puteri," perli Puan Fatehah. Najwa tidak mempedulikan kata-kata ibunya dan dia terus berlalu pergi. Hari yang semakin meninggi membuatkan Najwa berasa semakin penat dan dahaga. Dia hanya terdampar di atas kerusi panjang.
"Mengapa dengan kamu?" sapa ayahnya seraya mengambil akhbar hari itu.
"Pening kepalalah, ayah," sahut Najwa, manja. Memohon simpati.
"Baru hari pertama sudah ada masalah?" soal ayahnya separuh tergelak.
"Laparlah, ayah," sahut Najwa lemah.


"Biasalah. Ini kali pertama kamu berpuasa," Encik Nordin mengusap kepala anaknya itu.
"Kamu berehatlah. Sebab itu ayah melarang kamu membantu ayah tadi," tambah Encik Nordin. Encik Nordin memasang televisyen sambil melayani Nadia bermain.Najwa bangun dan berjalan ke hulu ke hilir. Sesekali matanya melirik ke arah jam di dinding.
"Ada lebih kurang dua jam lagi," hatinya berbisik. Dia menjenguk ibunya di dapur. Puan Fatehah sedang sibuk menyediakan awas hendak memasak.


"Pergi main dengan adik kamu. Sekiranya kamu duduk di sini, nahas. Bawang putih pun nanti kamu habiskan," gurau Puan Fatehah. Najwa berjalan dengan perlahan menuju ke arah Nadia yang sibuk bermain dengan anak patungnya itu. Najwa hanya menjeling apabila melihatkan adiknya menghisap straw yang berisi air sirap.


"Sabar, Najwa. Sabar. Ada dua puluh sembilan hari lagi," Najwa memujuk dirinya.
"Rugi sekiranya berbuka puasa," Najwa menguatkan semangatnya.
"Jangan duduk berhampiran adik kamu. Nanti mulalah terminum air lagi," pesan Encik Nordin. Najwa berbaring semula dan hidungnya terhidu bau masakan ibunya.
"Apabila waktu berbuka nanti, aku hendak makan banyak-banyak," kata Najwa kepada dirinya. Sementara menunggu waktu berbuka, Najwa terus berangan-angan.


"Sudah hampir waktu berbuka. Mari tolong ibu siapkan pinggan dan gelas. Ibu hendak buat air bandung," Puan Fatehah memanggil Najwa. Seperti kebiasaan, Najwa mengatur gelas dan pinggan nasi di atas meja. Dilihatnya hidangan di atas meja dengan penuh semangat.
"Sedapnya," ujar Najwa. Sesudah segalanya tersedia, mereka sekeluarga berkumpul dan menanti azan Maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa.
"Jangan lupa, makan buah kurma dahulu dan minum air masak," pesan Encik Nordin. Najwa masih teringat kata-kata Ustaz Fahmi minggu lepas.


"Buah kurma memberi tenaga selepas seharian berpuasa. Itulah kebiasaan yang Nabi Muhammad lakukan," pesan Ustaz Fahmi kepada para pelajarnya sempena persediaan menghadapi bulan Ramadhan.
Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, Najwa makan beberapa biji buah kurma dan minum air masak. Dia tidak sabar-sabar lagi hendak menjamu selera. Dia mengambil ayam goreng dan sayur kangkung kegemarannya. Sebelum menyuap nasi, dia makan dua biji karipap dan kuih lompat tikam yang dipesan kepada ibunya. Perutnya terasa penuh namun dia tetap dengan niatnya hendak makan nasi. Selepas beberapa suapan, tekaknya berasa loya.


"Mengapa dengan kamu?" tanya Puan Fatehah. Hairan apabila Najwa tiba-tiba menghentikan suapannya. Najwa tidak menjawab sebaliknya dia berlari-lari menuju ke tandas.
"Uwek. Uwek," bunyi suara Najwa dari tandas.
"Anak awak muntah," Puan Fatehah memaklumkan kepada suaminya. Puan Fatehah mengurut belakang Najwa dan Najwa terus memuntahkan segala apa yang baru dimakannya tadi. Sesudah berasa lega, Najwa membasuh mukanya dan berkumur-kumur. Dia terus terbaring di tengah ruang tamu rumahnya.
"Penatnya, ibu," adu Najwa.


"Itulah. Ibu sudah berpesan supaya makan sedikit dahulu. Rehat, kemudian sambung makan tetapi kamu berdegil," marah Puan Fatehah. Najwa tidak terkata apa-apa lagi. Dia sudah tiada selera hendak makan ayam goreng kegemarannya itu. Biarlah dia berehat dahulu. Dia takut akan muntah lagi. Najwa lihat ayahnya hanya tersenyum dari jauh.

No comments: