Monday, October 19, 2009

PERADUAN SAYA MAHU HADIAH PTS: BACA & MENANG!

PENGENALAN
Bagi memeriahkan musim cuti sekolah bermula November hingga Disember 2009, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. bakal menganjurkan Peraduan Saya Mahu Hadiah: Baca & Menang! Pelbagai hadiah menarik bernilai lebih daripada RM70 ribu terdiri daripada barang elektronik dan set perpustakaan mini menanti para pemenang. Peraduan ini melibatkan lebih daripada 200 kedai buku seluruh Malaysia. Sasaran utama peraduan ini adalah para pelajar sekolah dan ibubapa.


OBJEKTIF PERADUAN

1. Menggalakkan kanak-kanak dan remaja menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti utama semasa musim cuti sekolah
2. Meningkatkan jualan di kedai-kedai buku semasa musim cuti sekolah
3. Menyokong kempen 'Membaca 1 Malaysia' yang dilancarkan oleh pihak kerajaan


TARIKH PERADUAN

21 November 2009 hingga 3 Januari 2010


KEDAI BUKU TERLIBAT

1. Rangkaian kedai buku MPH
2. Rangkaian kedai buku Popular
3. Rangkaian kedai buku Bison (MyNews)
4. Kedai buku persendirian terpilih seluruh Malaysia


CARA PENYERTAAN

1. Peserta perlu membeli buku PTS bernilai RM25 dan ke atas dalam satu resit (nilai selepas diskaun jika ada) dan berpeluang menyertai pertandingan ini.
2. Peserta perlu mengisi borang peraduan yang boleh didapati di kedai-kedai buku yang terlibat dalam peraduan ini ataupun muat turun daripada laman web PTS.
3. Peserta perlu menjawab 3 soalan dengan tepat, menulis slogan yang kreatif dan mengisi dengan lengkap maklumat peribadi pada borang penyertaan.
4. Borang yang siap diisi berserta resit atau bukti pembelian asal perlu dikepil dan dimasukkan dalam kotak peraduan yang disediakan di kedai buku terlibat ataupun hantar terus kepada PTS.
5. Borang terkumpul setiap minggu di kedai buku akan dihantar terus kepada PTS bagi memilih pemenang mingguan.
6. 3 pemenang akan dipilih setiap minggu selama 6 minggu berturut-turut bagi menerima hadiah mingguan.
7. 1 sekolah dengan penyertaan pelajar paling ramai akan dipilih setiap minggu selama 6 minggu berturut-turut bagi menerima hadiah mingguan untuk sekolah.
8. 3 pemenang hadiah utama akan dipilih di kalangan pemenang-pemenang hadiah mingguan apabila tarikh peraduan tamat. Pemilihan pemenang berdasarkan slogan paling kreatif.


SYARAT-SYARAT PERADUAN

1. Peraduan ini dianjurkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS) dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
2. Kakitangan PTS dan saudara terdekat tidak layak menyertai peraduan ini.
3. Peraduan ini berlangsung dari 21 November 2009 hingga 3 Januari 2010.
4. Peserta boleh menghantar seberapa banyak borang peraduan tetapi hanya layak menerima satu hadiah mingguan dan satu hadiah utama sahaja.
5. Satu sekolah hanya layak memenangi satu hadiah mingguan sahaja.
6. Setiap borang penyertaan yang dihantar perlu disertakan resit atau bukti pembelian asal.
7. Borang peraduan boleh didapati di kedai buku terpilih ataupun muat turun daripada laman web PTS. Borang fotostat adalah diterima.
8. Resit asal atau bukti pembelian perlu dikepilkan bersama borang peraduan.
9. Bagi peserta yang membeli melalui kedai buku online PTS di www.bookcafe.com.my, resit salinan adalah diterima sebagai bukti bayaran.
10. Pemenang mingguan dan hadiah utama dipilih berdasarkan jawapan yang tepat, slogan paling kreatif dan maklumat peribadi yang lengkap.
11. Semua pemenang akan diberitahu melalui e-mel ataupun panggilan telefon.
12. Pemenang yang berada sekitar Lembah Klang perlu datang sendiri ke pejabat PTS bagi menuntut hadiah dalam tempoh dua minggu selepas dimaklumkan. Bagi pemenang yang berada di luar Lembah Klang, hadiah akan dihantar melalui servis kurier.
13. Semua hadiah yang diberi dalam keadaan baik tidak boleh ditukar dengan wang tunai, kredit, barangan lain ataupun baucer sama ada sebahagian ataupun sepenuhnya.
14. Peserta dan pemenang akan menanggung sepenuhnya sekira berlaku liabiliti, kecemasan, kecederaan, kerosakan, tuntutan kemalangan (termasuk kematian) yang disebabkan oleh mereka semasa menyertai peraduan ini.
15. PTS berhak menggunakan nama, maklumat dan gambar pemenang bagi tujuan periklanan, perdagangan dan/ataupun publisiti, tanpa perlu memberitahu terlebih dahulu kepada pemenang. Pemenang tidak layak menuntut pemilikan ataupun apa-apa pampasan penggunaan itu.
16. Keputusan hakim adalah muktamad dan tiada surat menyurat akan dilayan.
17. Peserta bersetuju mematuhi syarat-syarat peraduan dan menerima keputusan hakim apabila menyertai peraduan ini.


ALAMAT SURAT MENYURAT PERADUAN

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
No. 12 & 12A, Jalan DBP, Dolomite Business Park
68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia
Tel: +6 03-6188 0316 Faks: +6 03-61898 0316
E-mel: marketing@pts.com.my


HADIAH

Hadiah Utama
(a) Tempat Pertama:
1 x TV LG Plasma 42" + Set Perpustakaan Mini bernilai RM10,000

(b) Tempat Kedua:
1 x Kamera Video Sony HDR-CY100E + Set Perpustakaan Mini bernilai RM8,000

(c) Tempat Ketiga:
1 x Laptop Acer Aspire Timeline 4810T + Set Perpustakaan Mini bernilai RM5,000

Hadiah Mingguan
(a) Minggu Pertama
1. iPod Touch 8GB + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100

(b) Minggu Kedua
1. PSP + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(c) Minggu Ketiga
1. Acer Netbook Aspire One D250 + Buku PTS bernilai RM100
2. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100
3. PS2 + Buku PTS bernilai RM100

(d) Minggu Keempat
1. Nintendo Wii + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(e) Minggu Kelima
1. Nokia 5880 ExpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
2. PS2 + Buku PTS bernilai RM100
3. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100

(f) Minggu Keenam
1. Kamera Digital Canon Powershot A2100 IS + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100

Hadiah Mingguan untuk Sekolah
6 x Set Perpustakaan Mini bernilai RM3,000 (penyertaan pelajar sekolah paling tinggi setiap minggu)


TARIKH SERAH BORANG, PILIH DAN UMUM PEMENANG MINGGUAN

Minggu Tarikh borang penyertaan Tarikh pilih pemenang Tarikh umum pemenang
1 21-29 Nov. 2009 4 Disember 2009 5 Disember 2009
2 30 Nov.-6 Dis. 2009 11 Disember 2009 12 Disember 2009
3 7 - 13 Dis. 2009 18 Disember 2009 19 Disember 2009
4 14 - 20 Dis. 2009 25 Disember 2009 26 Disember 2009
5 21 - 27 Dis. 2009 1 Januari 2009 2 Januari 2010
6 28 - 3 Jan. 2010 8 Januari 2010 9 Januari 2010


TARIKH UMUM PEMENANG HADIAH UTAMA
15 Januari 2009


PROMOSI PERADUAN

Kedai Buku & Sekolah
1. Penyediaan borang peraduan dan bahan promosi seperti poster & flyers di kedai buku & sekolah.
2. Penyediaan kotak bagi mengisi borang peraduan.
3. Menggunakan shelf talker, hanging mobile & bunting di kedai buku bagi menguarkan peraduan kepada umum.
4. Melantik kedai buku bagi mengedar borang peraduan ke sekolah di lokasi mereka.
5. T-shirt cetakan Peraduan untuk kakitangan kedai buku bertugas: 3 helai untuk setiap kedai.

Akhbar & Radio
1. Harian Metro
2. Utusan Sarawak
3. Sabah Times & Daily News
4. Utusan Borneo
5. Hot Fm
6. Sarawak Fm

Majalah
1. Ana Muslim
2. Gempak

Online (Internet Marketing)
1. Hebahan peraduan di www.bookcafe.com.my
2. serta melalui web banner, newsletter dan signature kepada pembeli melalui laman-laman web PTS
3. Mini site peraduan di www.pts.com.my/peraduan
4. Promosi di laman web sosial: facebook, friendster dan myspace

Mobile Marketing
Penyebaran maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui OWNSMSBIZ.COM.

Sunday, October 04, 2009

Seloka & Aurat (Diterima dari seorang rakan..) Menarik, Santai tetapi penuh makna)

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun 'make up'.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.

Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.

Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,K
ain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh besok mulai

P/S: Seloka yang mudah difahami. Ayuh remaja. Peliharalah auratmu kerana ianya terlalu
berharga. Bukan setakat bertudung kepala tetapi aurat yg utama. Pakaian melambangkan keperibadian. Untuk dihormati, pilihkan pakaian menutup aurat. Insyaallah, maruah terjaga dan sentiasa dilindungi.

Thursday, April 16, 2009

Puting Nyunyut

Sebahagian bab dari buku terbaru..Nantikan kemunculannya.

Buntat begitu resah. Dia berjalan mundar-mandir seolah-olah sedang mencari sesuatu. Sesekali dia menggaru-garu kepalanya. Dia pergi sekali lagi ke dapur namun apa yang dicarinya masih belum ditemui.
“Kamu cari apa? Dari tadi kakak lihat kamu gelisah semacam. Apasal?“ sapa Azza.
“Saya cari puting nyunyut. Di manakah agaknya? Atau tersilap letak?“ jawab Buntat.
“Kamu memang tidak tahu malu. Sudah besar, masih menghisap puting,“ rungut Azza.
“Kamu tidak tengokkah lembu di padang sana? Nampakkah di hidungnya ada kelikir cantik? Kelikir lembu samalah dengan gelang puting kamu itu? Bermakna jikalau kamu hisap putting, cantik seperti lembulah,” sakat Azza.
“Ikut suka sayalah,“ Buntat terus mencari puting kesayangannya. Dia menyelongkar laci dapur dan perasaannya hampa. Dia mengambil pula kerusi makan dan memanjatnya. Dia mencari-cari di atas peti sejuk.
“Tiada juga di atas ini,“ rungut Buntat. Dia bercekak pinggang.
“Ibu, ibu,“ laung Buntat dari dapur. Tidak lama kemudian, Puan Siti muncul. Sambil menggantungkan penyapu di belakang pintu, Puan Siti bertanya, “Apa yang kamu bising-bising "
“Di mana puting nyunyut saya?“ rengek Buntat. Ibunya ketawa terbahak-bahak melihat wajah anaknya, Buntat. Puan Siti tidak menjawab sebaliknya keluar dari dapur.
“Abang, mari tengok anak awak di dapur,“ Puan Siti memanggil suaminya yang sedang asyik melihat ikan-ikan di dalam akuariumnya.
“Mengapa pula?“ soal Encik Azman.
“Cepatlah tengok,“ gesa Puan Siti. Encik Azman akur. Mereka mengintai anak bongsu mereka yang sedang mencari puting nyunyutnya di atas kabinet pula.
Encik Azman mengusap-usap kepala anaknya seraya berkata, “Kasihan anak ayah. Mahu ayah tolong carikan puting kamu?“ Puan Siti tersenyum meleret.
“Ke mana perginya puting saya itu?“ rungut Buntat lagi. Dia memeluk ayahnya.
“Ibu sudah buangkannya. Kamu sudah besar. Beberapa kali ibu telah berpesan, buangkan tabiat menghisap puting itu. Itu tabiat buruk,“ akhirnya Puan Siti bersuara. Buntat terkedu seketika dengan penjelasan ibunya.
“Alaa, ibu ini. Satu hari nanti saya berhentilah,“ Buntat cuba berjanji.
“Sudah banyak kali ibu dengar kamu kata begitu. Tapi kamu tetap membawanya ke mana-mana. Mujurlah tidak bawa ke sekolah,“ bebel Puan Siti.
“Malulah jikalau di bawa ke sekolah. Nanti kawan-kawan ejek,“ tahu pula Buntat mempertahankan dirinya.
“Haa. Tahu pula malu,“ sampuk Azza yang sedang membuat minuman.
“Nanti gigi kamu jongang apabila besar nanti. Siapalah yang hendak berkahwin dengan Buntat. Sudahlah montel, jongang pula,“ tambah Puan Siti.
“Jikalau kamu tidak menghisap puting, kamu lebih comel. Ayah suka tengok anak-anak ayah berwajah comel,“ kata Encik Azman dengan nada memujuk. Buntat tersenyum. Dia turun dari kerusi perlahan-lahan. Encik Azman dan isterinya hanya menggeleng-gelengkan kepala mereka dengan telatah anak bongsu mereka.
“Kamu hendak ke mana pula?“ Azza menyoal adiknya, Buntat yang kelihatan hendak ke satu destinasi.
“Kedai Mak Jah,“ jawab Buntat ringkas.
“Hendak beli apa?“ Azza bertanya lagi. Masih tidak puashati dengan jawapan ringkas adiknya itu.
“Adalah,“ balas Buntat seraya berlari ke luar.
“Buntat. Kamu hendak beli apa?“ laung Azza. Namun tiada jawapan. Buntat sudah berada jauh. Buntat berlari-lari anak menuju ke kedai Mak Jah yang terletak hanya kira-kira limabelas meter dari rumahnya. Kedai runcit Mak Jah memang menjadi tumpuan penduduk setempat kerana banyak keperluan rumah boleh didapati di situ.
“Haa, Buntat. Kamu hendak beli apa?“ tegur Pak Agus, suami Mak Jah. Buntat hanya tersenyum. Malas dia hendak melayani orang tua itu selagi hajatnya tidak kesampaian. Dia tercari-cari barang yang hendak dibelinya. Tiba-tiba matanya terpaku ke arah satu rak. Dengan pantas dia mengambilnya dan terus membayarnya.
“Hai Buntat. Beli puting baru? Puting lama sudah hilang?“ usik Abang Bidin, anak sulung Mak Jah. Buntat hanya endah tidak endah dengan teguran Abang Bidin bak mencurah air ke atas daun keladi. Sebaik sahaja membayar harga puting itu, Buntat berlari keluar.
“Baru puas hati aku,“ kata Buntat kepada dirinya. Dia menyanyi-nyanyi kecil. Dia membasuh putingnya di rumah dan terus menghisapnya. Tanpa menghiraukan sesiapa, dia terus menonton cerita kartun kegemarannya, Sin Chan.
“Ya Tuhan. Dari mana kamu dapat puting ini?“ Puan Siti terkejut melihat Buntat dengan tenangnya menghisap puting nyunyutnya.
“Beli di kedai Mak Jah tadi,“ jawab Buntat penuh bangga.
“Apalah hendak jadi dengan anak aku seorang ini? Sudah besar masih menghisap puting. Apa ikhtiar aku lagi?“ bebel Puan Siti. Buntat khusyuk menonton siri kegemarannya tanpa menghiraukan leteran ibunya. Yang penting, hajatnya sudah tercapai. Dan yang paling penting, puting yang baru dibelinya akan disimpan di tempat yang paling selamat. Tiada lagi sesiapa yang bakal membuang puting kesayangannya lagi.

Monday, March 09, 2009

Pagi pertama di Kepez

Satu catatan perjalanan ke Canakkale, Turki dari buku Bertapak Di Bumi Trojan)
Peperangan Trojan dan Sparta terjadi di Troy, Canakkale

Mata terasa begitu susah untuk dibuka kerana tubuh ter asa begitu penat. Sya melihat jam. Sudah jam lima pagi. Sesudah membuat senaman ringkas saya terus bangun dan menuju ke tingkap. Terasa cuaca begitu dingin. Sebaik sahaja langsir disingkap, suami yang sudah terpacak bangun terkejut besar.
“Hari dah cerah?“ kata saya.
“Biar betul,“ suami saya berasa curiga.
“Malam tadi orang tu kata subuh pukul 4.20 pagi,“ saya menggaru-garu kepala.
“Masakan jam lima hari dah cerah,“ suami juga hairan. Kelihatan beberapa orang sedang bersenam dan berlari di tepi selat itu. Masakan terlalu awal mentari memancarkan sinarnya.
“Kita silap sebab tak download waktu solat di sini,“ kata suami. Saya segera mengambil wuduk. Masih terkilan kerana terlepas waktu afdhal. Setelah bertanyakan petugas waktu bersarapan, kami sambung berehat. Penatnya selepas sehari suntuk di dalam pesawat. Jam sepuluh pagi kami turun bersarapan.
“Banyaknya makanan di sini,“ saya terkejut melihat pelbagai makanan yang disediakan. Namun satu pun tidak menarik minat kerana tidak tahu apa jenis makanan turki, semuanya mediterranean food.
“Mujur ada campuran badam, kismis dan aprikot. Ini yang elok kita makan. Roti pun ada.
Cukuplah,“ ujar suami. Saya mengambil salad dan buah pic sebagai sarapan.

Sarapan pagi membelakangi Selat Dardanelles

Perut masih kenyang dan tubuh masih lemah. Kekadang masih terasa berada di dalam pesawat. Kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar di kawasan berhampiran. Tidak sabar rasanya hendak melihat dengan lebih dekat selat dardanelles yang penuh dengan sejarah itu. Mula-mula kami berjalan di sekitar hotel kolin, satu-satunya hotel bertaraf lima bintang yang ada di bandar trojan itu.
Tak sangka hari cepat siang di sini dan lama pula berbanding malam,“ kata suami. Kami berjalan berhampiran selat dardanelles yang banyak merakam sejarah peperangan. Kelihatan banyak bot-bot kecil melintasi selat. Kadang-kadang ada juga kapal dan tongkang melintasinya. Pemandangan yang begitu indah menyebabkan kami terpaku seketika

. Bunga ros yang ditanam sekeliling pagar Hotel Kolin


“Mari kita tengok bunga ros di sana,“ saya berlari-lari anak ke arah pokok ros yang banyak ditanam di situ.
“Besarnya ros di sini. Mana jumpa di tempat kita,“ suami melahirkan rasa kagumnya dengan warna dan saiz bunga ros turki. Mungkin kerana cuaca adalah satu faktor kesuburannya. Apalagi, kami berdua mengambil gambar dan bergambar di samping bunga-bunga ros yang begitu mekar sekali.
“Macam tak percaya lagi berada di Turki. Sejuknya cuaca,“ saya begitu bersyukur dapat melihat negara orang. Kami masih sibuk mengambil gambar-gambar sebagai kenangan.
“Nak makan apa-apa?“ soal suami. Perut masih kenyang namun terasa begitu dahaga. Air perlu dibeli kerana di dalam hotel tiada disediakan cerek dan air mineral. Baru tadi saya terpaksa membayar dua lira turki untuk sebotol air 500ml. Mana boleh tahan.
“Nak beli air tapi kedai di mana?“ tidak kelihatan kedai runcit berhampiran Kolin.
“Kita tanya orang hotel,“ cadang suami. Kami meninggalkan selat dardanelles buat sementara waktu. Kami perlu mencari air dan sedikit makanan. Makan tengahari memang tidak disediakan buat para penginap. Hanya sarapan dan makan malam sahaja disediakan. Mujur juga ada disediakan kerana agak susah mencari warung atau kedai makan di kepez. Bukan seperti di tempat kita.
“Di mana kami boleh membeli barang-barang runcit?“ saya bertanyakan staf hotel yang memakai tanda nama yasin.
“Di hadapan ini ada hypermarket, kipa. Di situ puan boleh membeli keperluan. Cuma puan tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman ke bilik hotel,“ kata-kata terakhir yasin benar-banar mengejutkan kami. Mengapa pula begitu? Tetapi kami hanya mendiamkan diri. Sesudah itu kami segera keluar untuk membeli sedikit barang di Kipa. Lebih kurang sepuluh minit berjalan, kami tiba di Kipa. Hypermarket yang bekerjasama dengan Tesco. Rekabentuknya saling tidak tumpah hypermarket Giant di Malaysia.

KIPA- satu-satunya hypermarket yang ada di Kepez

“Mahalnya barangan di sini,“ komen saya apabila harganya ditukarkan kepada ringgit malaysia. Kami membeli beberapa botol air minuman dan sedikit makanan. Ingin juga merasa makanan orang turki. Yang paling seronok apabila membeli jus buah-buahan segar yang tidak diawet. Mujurlah harganya murah. Kami membeli jus ceri, pic dan mangga. Bukannya mudah hendak didapati di malaysia. Waktu inilah mencuba. Terdapat beberapa orang tempatan yang menegur kami dan bertanyakan asal kami.
“Anda dari mana?“ sapa seorang jejaka turki. Dia yang beratur di belakang suami tersenyum.
“Dari malaysia,“ jawab suami saya.
“Malaysia?“ wajahnya berkerut.
“Dekat singapura,“ tambah suami saya.
“Oh. Singapura,“ dia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda tahu lokasinya. Terasa begitu sedih kerana singapura lebih menonjol dari Malaysia. Kelihatan ramai pelancong Jepun sedang membeli barangan. Mungkin pelancong Jepun sudah biasa di sana maka orang-orang tempatan tidak mengendahkannya.
Kami melihat-lihat beberapa kiosk yang terdapat di situ. Nampaknya selera orang Melayu tidak secocok dengan makanan mereka. Cuma mungkin kebab sahaja yang selera dimakan. Sesudah itu kami beredar dan keletihan mula ter
asa. Barangan makanan yang dibeli sudah dimasukkan ke dalam beg galas. Yang mengejutkan kami semasa berjalan di dalam Kipa tadi adalah minuman arak seolah-olah menjadi minuman harian mereka. Rata-rata anak muda tidak kekok minum air haram itu. Kami hanya mampu mengeluh. Memang satu cabaran besar untuk mereka yang ingin mengamalkan Islam di sana. Bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang dapat mengamalkan Islam tanpa banyak halangan. Semoga allah memberi hidayah kepada mereka.

Thursday, February 12, 2009

Mesej Pendek Tapi BERMAKNA

Seorang budak lelaki yang buta, duduk di tepi sebuah bangunan dan meletakkan topinya di sebelah kakinya. Dia meletakkan satu papantanda yang berbunyi, "Saya buta, bantulah saya."
Di dalam topi ada sedikit wang yang didermakan oleh orang yang lalu-lalang di hadapannya. Tidak lama kemudian seorang lelaki mengeluarkan beberapa keping syilingnya dan meletakkan ke dalam topi itu. Kemudian dia mengambil papantanda dan menulis sesuatu. Dia meletakkan papantanda itu di tempat asalnya supaya orangramai yang lalu-lalang dapat melihat tanda itu dengan jelas.


Tidak lama kemudian, topi itu dipenuhi dengan syiling. Lebih ramai yang mendermakan duit kepada budak lelaki yang buta itu. Tengahari itu, lelaki yang menulis tadi kembali melihat budak lelaki buta itu. Budak lelaki itu mengenali bunyi tapak kasut lelaki itu dan terus bertanya, "Adakah anda yang menukar papantanda saya pagi tadi? Apa yang anda telah tulis?"



Jawab lelaki itu," Saya menulis apa yang benar sahaja. Saya menulis apa yang awak tulis tetapi dalam bentuk yang agak berlainan." Apa yang ditulis lelaki itu adalah "Hari ini sangat indah dan saya tidak dapat melihat keindahannya". Memang nyata kedua-dua ayat tadi menunjukkan bahawa budak lelaki itu buta tetapi ayat kedua lebih bermakna. Ia menyatakan bahawa orang yang lalu-lalang itu tadi sangat bertuah kerana tidak buta dan dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah swt. Oleh itu ayat kedua sangat efektif.

Kesimpulan:

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Fikir dengan positif dan kreatif. Ajak manusia bersyukur dengan penuh hikmah dan nikmati kehidupan tanpa seribu satu alasan. Berkasih-sayang selalu dan apabila kehidupan memberikan anda seratus sebab untuk menangis, maka tunjukkan kepada dunia seribu sebab untuk tersenyum selalu.

Hadapi hidup dengan penuh keyakinan, persiapkan diri untuk menghadapi masa hadapan, tingkatkan iman dan buangkan perasaan takut. Orang-orang bijaksana pernah berkata, " Di dalam perjalanan hidup, sekiranya anda ingin mengembara tanpa perasaan takut, anda mestilah mempunyai satu tiket yang dapat menghidu baik dan buruk."

Friday, January 30, 2009

Tips Meningkatkan Tahap Ingatan 2

Keputusan SPM: Petua Hafaz Al-Quran

Harian Metro, Selasa 13 Mac 2007Oleh Adnan Mohamad
KOTA BHARU: “Setiap hari saya mengulang kaji pelajaran dan masa selebihnya menghafaz al-Quran.“Ibu bapa dan guru sering menasihatkan saya menghafaz al-Quran kerana memudahkan ingatan terhadap pelajaran,” kata pelajar Sekolah Agama Mahaad Muhammadi Perempuan, Siti Fatimah Mukhtar, 17, yang diumumkan pelajar terbaik negeri ini bagi sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).Dia memperoleh 17 1A dan 1 2A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus mencipta rekod kecemerlangan keputusan SPM bagi sekolah agama tajaan Kerajaan Negeri Kelantan.

Berita Harian, Selasa 13 Mac 2007
Oleh Mohd Azrone Sarabatin, Mohd Roji Abdullah, Mohd Izham Unnip Abdullah
Di KOTA BHARU, pelajar Sekolah Agama Maahad Muhammadi Perempuan, Siti Fatimah Mukhtar, 17, yang memperoleh 17 1A dan satu 2A, berkata tumpuan ketika guru mengajar serta ulang kaji secara konsisten sepanjang tahun dan doa, menjadi kunci kejayaannya.“Saya juga menghafaz al-Quran setiap hari bagi menguatkan ingatan saya terhadap pelajaran yang diajar guru," kata anak guru Sekolah Kebangsaan Tapang, Aishah Mohd, 50, dan Pengurus Operasi Bank Islam Wilayah Timur, Mukhtar Ismail, 53.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu, mendapat 1A bagi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tamadun Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunah, Pendidikan Syariah Islam serta Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi, manakala 2A untuk Bahasa Arab Tinggi

Saturday, January 17, 2009

Tips Meningkatkan Tahap Ingatan


Petua 1


Pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Tidur awal dan bangun awal pagi. Lakukan solat tahajjud. Jangan berjaga sehingga larut malam kerana ia merosakkan kesihatan otak kita. Tukarlah jadual harian anda supaya memori anda tetap di tahap yang cemerlang.

Saturday, January 10, 2009

Budak Lelaki dan Pokok Epal


Pada satu zaman dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang sangat besar. Seorang budak lelaki suka bermain di sekeliling pokok itu. Dia memanjat hingga ke puncak pokok, makan buahnya dan tidur di bawah pohon pokok epal itu. Dia sayangkan pokok epal itu dan selalu bermain dengannya. Masa berlalu d\an budak lelaki itu semakin dewasa. Oleh itu dia tidak lagi bermain dengan pokok epal tersebut.
Pada satu hari, dia kembali ke pokok epal itu dan wajahnya sangat sedih. Lalu pokok itu menegurnya,” Marilah bermain denganku.”
“Saya bukan lagi seorang budak jadi saya tidak lagi bermain disekeliling pokok,” jawabnya.
” Saya perlukan duit untuk membeli alat perminan,” tambahnya lagi.
” Maafkan aku kerana aku tidak mempunyai wang. Tetapi engkau ambillah buah-buah epal yang ada dan jualkan. Engkau akan dapat duit,” saran pokok epal itu. Budak lelaki itu sungguh gembira. Tanpa berlengah, dia terus memetik buah epal itu dan meninggalkan tempat itu segera dengan perasaaan gembira. Selepas hari itu, budak lelaki tersebut tidak lagi datang menziarahi pokok epal.
Tanpa diduga, satu hari budak itu muncul semula dan pokok epal terlalu gembira.
”Marilah bermain denganku,” kata pokok epal.
”Aku tiada masa untuk bermain dengan engkau. Aku kena bekerja untuk keluargaku. Kami perlukan rumah untuk tempat perlindungan. Boleh engkau tolong aku?” soal budak lelaki itu.
“Maafkan aku. Aku tiada rumah tetapi engkau boleh potong dahan aku dan bina rumah engkau,” pokok epal itu memberi cadangan. Lelaki itu terus memotong dahan-dahan pokok dan meninggalkan pokok epal dengan perasaan gembira. Pokok itu gembira melihat kegembiraan lelaki itu tetapi kembali sedih apabila lelaki itu tidak lagi muncul-muncul. Dia berasa sunyi.
Selang beberapa lama, lelaki itu kembali semula dan pokok epal berasa sangat gembira.
”Marilah bermain denganku,” kata pokok epal.
”Aku sudah tua dan ingin belayar untuk merehatkan diri. Boleh engkau bagi aku sebuah bot?” tanyanya.
”Gunakan batang pokok aku dan engkau binalah bot. Jadi engkau bolehlah belayar,” pokok itu membreri cadangan. Lelaki itu membuat bot dan pergi belayar. Selang beberapa tahun, lelaki itu kembali.
”Maafkan aku wahai anakku. Sudah tiada buah epal untukmu lagi dan juga aku tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu,” kata pokok epal itu dalam nada sedih.
”Usah gusar kerana aku tidak mempunyai gigi untuk makan epal engkau,” jawab lelaki itu.
”Engkau tidak boleh memanjatku lagi kerana batang dan dahan sudah tiada,” kata pokok epal itu.
”Jangan bimbang. Aku sudah tua untuk itu semua itu,” jawabnya.
“Aku tidak boleh memberi engkau apa-apa lagi untuk membantumu. Apa yang tinggal hanyalah akar-akar kayu yang mati,” terang pokok epal.
” Aku tidak mahu apa-apa lagi. Cuma satu tempat untuk berehat. Aku sudah penat selama ini berjuang di dalam kehidupan,” kata lelaki itu dengan lemah.
”Bagus. Akar tua memang bagus untuk dijadikan tempat rehat. Marilah kepadaku dan berehat di atasku,” saran pokok epal itu dengan penuh gembira. Lelaki itu akur dan pokok epal sangat gembira. Dan airmata kegembiraan terus mengalir tanpa henti.


Pengajaran: Kisah ini adalah untuk semua. Pokok epal adalah ibarat ibubapa kita. Semasa kita kecil dan remaja, kita sangat sayangkan ibubapa kita. Apabila semakin dewasa, kita mula meninggalkan mereka. Kita pergi kepada mereka apabila kita berhadapan dengan masalah. Tidak kira apa pun, ibubapa tetap ada untuk kita dan sanggup memberikan apa sahaja supaya kita terus gembira.
Anda mungkin beranggapan budak lelaki itu agak zalim terhadap pokok itu tetapi itulah hakikatnya. Hakikat cara kita melayan ibubapa kita. Kita tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka terhadap kita sehinggalah kita baru menyedari apabila tiba saat-saat terakhir kehidupan mereka. Semoga Allah swt memaafkan kesalahan dan kelemahan diri kita. Juga memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua. Amin.



Thursday, January 08, 2009

Kisah 7 Keajaiban Dunia


Sekumpulan pelajar disoal oleh guru mereka mengenai 7 kejaiban dunia. Mereka berbincang dan akhirnya bersetuju menyenaraikan tujuh keajaiban seperti di bawah walaupun mendapat bantahan. Namun kerana suara ramai, mereka pun bersetuju.


1. Piramid di Mesir

2. Taj Mahal

3. Grand Canyon

4. Terusan Panama

5. Empire State Building

6. St. Peter's Basilica

7. Tembok Besar China


Sewaktu guru mengumpul undi, dia mendapati ada seorang pelajar perempuan masih belum siap menyenarai 7 keajaiban itu. Lalu dia bertanya, "Awak ada masalah dengan senarai awak?"


Budak perempuan itu menjawab, " Ya, cikgu. Ada sedikit masalah. Saya tidak dapat senaraikan kerana terlalu banyak,"


Lalu guru itu membalas," Baiklah. Maklumkan apa yang awak ada dan mungkin kami dapat tolong." Budak itu berasa ragu dan membaca senarainya.


"Saya rasa 7 keajaiban dunia adalah,

1. melihat

2.mendengar

3. menyentuh

4. merasa

5. mengharap

6. ketawa

7. menyayangi


Kelas menjadi sunyi sepi. Memang nampak mudah namun nikmat itu yang menyebabkan kita mudah lupa dengan anugerah besar itu.


Pesanan buat kita semua: Perkara yang kita nampak mudah dan biasa adalah anugerah yang tidak ternilai dan tidak mampu dibeli oleh manusia.