Monday, November 20, 2006

7 SIKAP REMAJA ISLAM YANG BERJAYA

Entri ini diterjemah dari artikel yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris oleh Altaf Hussain

1. Bersikap JUJUR/ BENAR
2. Sentiasa AMANAH
3. Sedar dengan kewujudan ALLAH di mana-mana
4. FOKUS dengan apa yang dilakukan
5. TEPAT
6. KONSISTEN
7. BERHATI-HATI

Kini KU lebih mengerti




Sayangi ANAK YATIM


Pengalaman hidup bersama anak-anak yatim selama dua tahun membuatkan saya lebih mengerti mengapa Allah s.w.t. memerintahkan umat manusia mengasihi anak-anak yatim. Saya mula memahami kehidupan mereka selepas suami saya berkhidmat dengan satu pertubuhan anak-anak yatim yang mempunyai penghuni seramai dua puluh orang.


Pelbagai pengalaman menarik berlaku dan tidak juga ketinggalan lebih banyak yang membuatkan hati kita sebak dan sayu. Saya mula mengerti mengapa ramai di antara mereka bersikap rendah diri, kurang keyakinan dan ada yang suka memberontak. Saya mula mengerti mengapa Baginda Rasulullah s.a.w suka membelai dan mengusap anak-anak yatim.


Mereka perlukan perhatian. Mereka perlukan sokongan. Mereka perlukan bimbingan. Hati mereka tulus kerana mereka sangat mendambakan kasih-sayang dari orang-orang di sekitar mereka. Tetapi mereka akan menjadi orang yang cemerlang dan hebat sekiranya diberikan perhatian yang sewajarnya. Mereka juga perlu dimarahi atas kesalahan yang mereka lakukan supaya mereka menerima pelajaran yang sepatutnya.


Oelh itu, suka saya menyeru kepada semua sekiranya tahu mengenai kewujudan pertubuhan anak-anak yatim khususnya yang kurang dikenali ramai, pergilah menziarahi mereka dan dekati diri mereka. Banyak perkara yang menginsafkan dapt dipelajari di sana. Selepas itu mungkin kita tahu bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan kepada kita. Bersyukurlah sentiasa kerana Allah akan menambahkan nikmat yang melimpah -ruah kepada kita. Sekiranya ada rezeki yang lebih, berkongsilah dengan mereka kerana di dalam rezeki kita, terdapat hak orang lain di dalamnya.

Monday, November 13, 2006

Minta dari ALLAH..apa saja

Kisah Dua

Seorang pelajar madrasah Al Quran duduk termangu di pangkin bawah pokok mangga. Dia kelihatan sedih. Tanpa disedarinya, seorang lelaki yang agak berumur menyapanya. "Hah. Mengapa pula kamu ini? Sedih sangat nampaknya," sapa Pak Man lalu duduk disebelahnya. "Oh, Pak Man," pelajar yang dipanggil Umar tersengih lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam.
"Apa yang sudah berlaku?" Pak Man ingin tahu.
"Saya hendak pulang ke kampung. Ayah saya sakit tenat," ujar Umar. Pak Man sedikit tersentak.
"Habis, mengapa kamu masih di sini?" Pak Man agak hairan.
"Saya memang hendak pulang tetapi," ayatnya terhenti di situ.
Apa pula tetapi? Cakaplah sebabnya," gesa Pak Man.
"Saya tiada duit hendak pulang ke kampung," terang Umar. Pak Man melepaskan keluhan.
"Pak Man kasihan betul dengan kamu ini. Ini ada sedikit duit buat kamu. Hendak beri banyak pun, kamu bukan tidak tahu, Pak Man pun tidak mampu," Pak Man menghulurkan wang lima ringgit.
"Tidak perlu, Pak Man. Saya tahu keadaan Pak Man dan selama inipun Pak Man yang banyak membantu saya," Umar keberatan untuk menerima duit itu kerana dia memang arif yang Pak Man ada ramai anak dan isterinya pula sakit. Setakat bekerja mengambil upah menebas dan memotong getah, berapa sangat pendapatan Pak Man.
"Ambillah," Pak Man meletakkan wang itu ke dalam poket jubah Umar. Umar tidak dapat menolaknya lagi.
"Terima kasih, Pak Man," kelihatan air mata bergenang di kelopak mata Umar.
"Doa banyak-banyak agar Allah bantu kamu. Pak Man harus pergi sekarang. Anak Pak Man sedang menunggu," Pak Man bangun dan menggosok kepala Umar yang dianggapnya seperti anak sendiri itu. Umar tersenyum tawar. Dia bangun perlahan-lahan dan menuju ke tempat wuduk. Dia mengambil wuduk dan naik semula ke surau untuk solat hajat 2 rakaat. Dia memohon pertolongan dari Allah supaya dia dapat pulang ke kampung dan menjenguk ayahnya. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan harapannya memang sangat tinggi. Dia menyapu airmatanya yang semakin deras itu.
Tiba-tiba, dia terasa bahunya dipegang. Dia memalingkan wajahnya.
"Kamu di sini rupanya. Pakcik puas cari kamu di asrama tadi," sapa Haji Yasin. Siapa yang tidak kenal dengan Haji Yasin, orang kaya di kawasan itu tetapi orangnya sangat rendah hati.
"Ini ada sedikit hadiah dari pakcik buat kamu," Haji Yasin menghulurkan sampul surat kepada Umar.
"Apakah ini, pakcik?" Umar bertanya.
"Ini ada sedikit duit buat kamu. Pakcik sudah lama berhajat untuk memberi hadiah ini kerana pakcik mendapat untung di dalam perniagaan pakcik baru-baru ini.
"Tidak mengapa. Saya tidak boleh menerimanya," Umar menolaknya dengan baik.
"Kamu ambillah kerana setiap pelajar di sini, pakcik sudah memberinya. Kamu doalah supaya hidup pakcik dirahmati Allah. Doa pelajar seperti kamu yang belajar agama ini, sangat mustajab," ujar Haji Yasin.
"Terima kasih," balas Umar lembut. Sebenarnya dia berasa bingung dan terpegun kerana doanya sudah dimakbulkan Allah. Selepas Haji Yasin beredar, Umat membuka sampul surat itu.
"Tiga ratus?" Umar ternganga. Airmatanya menitis lagi.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Menyayangi," kata Umar. Dia bergegas keluar untuk mengambil beg pakaiannya dan meminta kebenaran danri gurunya untuk pulang. Itulah kehebatan solat hajat.

MORAL: Mintalah apa sahaja dari Allah kerana anugerah Allah itu sangat luas dan tanpa had.

Wednesday, November 08, 2006

Hadiahkan Buat Guru-guru Anda


Ingati jasa guru-guru anda...Hadiahkan buku-buku yang istimewa ini dan julung-julung kali diterbitkan di Malaysia. Dapatkan secara terus dari PTS Publication. Banyak cerita-cerita menarik yang dipaparkan berdasarkan pengalaman sebenar. Jangan tunggu lagi...

Thursday, November 02, 2006

Akan Terbit...GIM



Akan terbit...Novel remaja baru. Gemuk Itu Menarik.
Mengisahkan budak perempuan gemuk bernama Najwa dalam menjalani kehidupan sehariannya di rumah dan di sekolah. Najwa sering menjadi bahan usikan dan ejekan rakan-rakan di sekolahnya.Walaupun sering menjadi ejekan rakan-rakan, Najwa tetap tabah menghadapi dugaan itu. Selepas mengikuti satu kem motivasi anjuran pelajar-pelajar UIA, Najwa lebih bersemangat dalam segala tindakannya. Dorongan dan nasihat daripada guru kaunseling sekolahnya, membuatkan Najwa lebih yakin dan bersyukur dengan bentuk fizikalnya tanpa menyalahkan takdir. Selain itu, kehadiran seorang pelajar baru bernama Faiz, turut menceriakan hidupnya. Faiz juga menghadiahkan sebuah buku bertajuk Panduan Pemakanan Sihat kepada Najwa pada hari lahirnya.Akhirnya, berkat daripada usaha dan semangat yang kental, Najwa berjaya menurunkan berat badannya secara perlahan-lahan. Najwa kini mempunyai ramai peminat meskipun dahulu menjadi bahan cemuhan rakan-rakan.
Harga: RM 13.00 / RM 16.00 (Sabah & Sarawak)

Minta Dari Allah..apa saja




Kisah Satu


Ceritanya begini.."Pada suatu hari, abang menghantar penumpang ke Kota Tinggi. Hari sudah petang dan abang terpaksa pulang seorang diri ke Kuantan. Jalan yang tidak biasa abang lalui dan keadaan teksi yang tidak begitu baik. Perjalanan yang jauh itu diduga begitu hebat," begitulah Abang Dolah membuka cerita. Hanif mendengar begitu khusyuk. "Semasa di dalam perjalanan, abang terpaksa memandu dengan gear 3 sahaja. Cuba kamu bayangkan," sambung Abang Dolah. Hanif memandang wajah Abang Dolah dengan tepat. "Tidak letihkah?" Hanif bertanya. "Siapa kata tidak penat? Sudahlah seorang, hari semakin gelap," Abang Dolah meninggikan suaranya. Hanif semkin teruja untuk mendengar kisah seterusnya. "Abang ternampak wokshop yang masih dibuka dan menurut mekanik, perlu ambil masa 3 hari untuk membaikinya," Abang Dolah meneguk minuman di hadapannya.

"Jadi abang terpaksa juga meneruskan perjalanan dan merentasi hutan yang sememangnya digeruni pemandu apabila tiba waktu malam," suara Abang Dolah menyebabkan wajah Hanif berkerut. "Beraninya abang, ya. Jikalau saya, entahlah," tingkah Hanif. "Terpaksa demi mencari rezeki," Abang Dolah membalas.
"Memanglah berdiri juga bulu roma abang. Tambahan pula kereta masih buat hal," Abang Dolah menyambung. "Ada benda pelikkah?" Hanif ingin tahu. Abang Dolah tersenyum. "Biasalah. Abang berhenti sebentar solat di sebuah surau dan di situ terlintas di hati abang, mengapa abang terlalu berharap kepada mekanik tadi untuk menyelesaikan masalah abang? Mengapa abang tidak meminta dari Allah?" Abang Dolah menarik nafas.
"Lantas abang solat Jamak/Qasar dan solat hajat 2 rakaat. Minta dari Allah, bantulah abang yang sedang di dalam kesusahan," terang Abang Dolah. "Selepas itu?" Hanif tidak sabar. "Abang meneruskan perjalanan sesudah selesai bersolat hajat," ujar Abang Dolah.
"Kamu tahu apa yang berlaku?" Abang Dolah sengaja menguji Hanif. Hanif menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang Dolah ketawa kecil. "Dengan izin Allah, kereta abang tiada masalah lagi. Boleh pandu sehingga gear 5. Cuba kamu bayangkan. Memang ajaib," kata Abang Dolah. Hanif terpedun. "Benarkah?" Hanif seolah-olah tidak percaya.
Moral: Di dalam apa jua keadaan, mintalah dari Allah. Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Menyayangi. Mintalah apa sahaja hajat, nescaya Allah akan bantu. Tidak membiarkan diri kita keseorangan. Oleh itu, sekiranya adik-adik remaja menghadapi masalah atau inginkan apa sahaja, solat Hajat 2 rakaat. Minta secara spesifik hajat adik-adik semua.

Tuesday, October 17, 2006

Doa-doa Masnun



Doa Masnun adalah doa harian Rasulullah s.a.w amalkan dan tidak pernah ditinggalkan. Doa Masnun ini hendaklah dibaca ketika hendak memulakan sesuatu perbuatan yang mengikut Sunnah. Doa adalah senjata Muslim.

Kelebihannya:
1) Memperolehi naungan dan Rahmat allah swt
2) Melindungi dari bencana
3) Menolak bencana dan meringankan tekanannya
4) Memperolehi kesukaan Allah swt
5) Menghilangkan kegundahan dan menghasilkan hajat


Waktu Mustajab
  • Hari Arafah
  • Bulan Ramadhan
  • Hari Jumaat
  • Waktu sahur
  • sepertiga akhir malam
  • Ketika sedang sujud di dalam solat
  • Ketika hujan lebat
  • Berhadapan dengan Kaabah
  • Ketika bertempur (berhadapan dengan musuh)
  • sebelum dan sesuah menunaikan solat

(bersambung...)


Hadiahkan Buat Yang tersayang...


Novel Jibunsyi, Jalan Jauh Ke Kampus sudah terbit dan berada di pasaran. Dapatkan di kedai buku berhampiran anda atau terus secara on line dari:

www.pts.com.my
www.bookcafe.com.my
www.mph.com.my

Harga RM21.00 (Semenanjung) dan RM 24.00 (Sabah/Sarawak)

Sebuah kisah yang menyayat hati dan mengajar erti pengorbanan demi sebuah kejayaan.

Tuesday, August 08, 2006

Tanda WANITA yang baik akhlaknya

Wanita yang berakhlak ialah yang baik perangainya terhadap suami, anak-anak, ibubapa, rakan-rakan,jiran tetangga dan masyarakatnya iaitu:-
1) Bersopan-santun dengan suaminya di dalam segala percakapan dan tindakannya
2) Bercakap menggunakan bahasa yang baik dengan anak-anaknya
3) Beradab dengan ibubapanya
4) Tidak suka bertengkar dan mengata-ngata, mengumpat serte memfitnah apabila dengan rakan-rakan dan jiran tetangganya
5) Tidak gemar mengadu hal kepada ibubapa perihal kelemahan suaminya
6) Bersabar di dalam menempuh kesusahan dan ujian daripada Allah swt serta tekun mengerjakan perintah-perintah Allah swt
7) Tidak mengeluh dalam menempuh kehidupannya
8) Tidak berhias-hias ketika keluar rumah kerana kecantikan isteri hanyalah untuk suami dan bukan untuk orang lain
9) Tidak memaksa suami untuk memenuhi segala keinginannya
10) Menghargai pemberian suami samada suka atau tidak
11) Tidak gemar bercakap sia-sia dan cakap sekadar yang perlu
12) Lebih suka berada di rumah
13) Rajin berpuasa
14) Selalu merenung keaiban diri (muhasabah)

Marilah kita sama-sama amalkan apa yang disarankan. Buat remaja, panduan ini sangat berguna di dalam mebina rumahtangga yang aman dan diberkati Allah. Amannya rumahtangga, insyaallah tenanglah hati.

Thursday, August 03, 2006

6 Pesanan Untuk Insan Bergelar ...WANITA

Wanita di dalam Islam dianugerahi terlalu banyak keistimewaan. Tanpa wanita pincanglah tamadun sehinggakan para ulamak telah memberi peringatan tentang kepentingan memelihara maruah wanita kerana di tangan merekalah terletaknya nasib generasi akan datang. Kita lihat apakah pesanan yang berikan supaya wanita dapat memiliki akhlak yang terpuji dan diberkati Allah swt..

1) Solat di awal waktu
2) Mengadakan ta'alim di rumah (Ta'alim adalah majlis ilmu)
3) Istiqamah membaca Al Quran
4) Mendidik anak secara agama dan sunnah
5) Hidup sederhana
6) Menggalakkan suami keluar bermujahadah di jalan Allah swt

Apabila ada suasana agama di dalam kehidupan maka hidayah dan pertolongan Allah akan datang. Rumahtangga diberkati Allah dan hidup diberkati serta jiwa menjadi tenang walaupun dilanda pelbagai masalah.Ayuh..kita amalkan zikir 300 kali pagi dan petang serta menghidupkan amalan di dalam rumah supaya bekalan kita cukup di akhirat kelak..

Monday, July 31, 2006

Kepentingan ZIKIR

Dipetik dari buku Kepentingan & Kelebihan Wanita oleh Maulana Syed Ahmad Khan
Zikir iaitu mengingati Allah swt dalam setiap masa dan keadaan. Allah swt telah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 152 maksudnya ," Maka berzikirlah (untuk mengingati) kepadaKu, nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian."

Tujuannya adalah supaya dapat kita hubungkan diri kita dengan Allah swt dalam setiap masa dan keadaan. Hendaklah istiqamah berzikir sebanyak 300 kali pagi dan 300 kali petang, masa yang sebaik-baiknya mengingati Allah s.w.t sebab waktu pertukaran langit di mana para malaikat akan membawa berita baik ke langit. Kekuatan zikir lebih deras menembusi cahaya dan membuka langit hingga tiang-tiang Arasy bergoyang. Selepas zikir mintalah kepada Allah semoga Allah swt mengampunkan dosa-dosa suami, ibubapa dan umat Rasulullah saw dan lakukanlah dengan istiqamah.

Kelebihan Berzikir:
1) Menghilangkan penyakit hati seperti hasad dengki dan irihati
2) Menjauhkan diri dari syaitan
3) Menghilangkan perasaan dukacita
4) Menghidupkan hati
5) Memberi ketenangan jiwa
6) Mendatangkan murah rezeki, memberi Nur pada wajah dan rumahtangga

Inilah kelebihan yang Allah berikan kepada wanita-wanita Muslimah. Ayuh, kita hidupkan amalan ini supaya sunnah Rasulullah terus hidup di zaman manusia mudah alpa.Tanamkan azam di hati kita...

Sunday, July 23, 2006

Terharu dan hiba

Kejutan demi kejutan buat umat Islam. Terharu apabila umat Islam ditindas dan diserang tanpa pembelaan. Di manakah kita apabila saudara kita di dalam kesusahan?Termenung sejenak..Kesyukuran yang tidak terhingga kerana kita masih enak dibuai mimpi. Tetapi sampai bila? Tergamakkah kita diulit mimpi indah sedangkan wanita-wanita dan anak-anak kecil Islam dirampas kebahagiaan mereka? Kesedihan apabila menatap wajah-wajah suci ditembak,dibom dan dikejami..Apa peranan kita di sini? Ayuh,marilah kita membantu saudara kita di sana. Jangan lupa berdoa untuk kemenangan mereka dan janganlah kita menjadi salah seorang ahli dunia Arab yang sudah bersepakat tidak sepakat..memetik kata-kata seorang ustaz di dalam forum agama..Ya Allah. berilah kemenangan kepada umat Islam.Ini adalah ingatan yang Allah berikan kepada kita semua. Generasi muda..janganlah leka dalam kenikmatan dunia yang tidak berpenghujung..
Jangan dipersiakan usia muda dengan hanya hiburan semata-mata. Inilah senjata Yahudi yang ingan melemahkan umat Islam. HIBURAN adalah senjata mereka..Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana itulah perisai yang utama dengan iman di dada...

Friday, April 14, 2006

Buku istimewa untuk remaja



Akhirnya, penantian berakhir. Berdebar-debar juga menanti terbitannya. Pesta Buku kali ini menyaksikan kemunculannya...Haura Harry. Sebuah bingkisan untuk dihadiahkan kepada remaja sekelian..

Sunday, March 12, 2006

Novel yang akan terbit..istimewa

“Bagus. Abang suka cara awak menyatakan pendirian. Awak ada prinsip tersendiri. Awak memang seorang yang istimewa,” kata-kata Kamal menyentuh hati Haura.
“Istimewa? Ikhlaskah dia berpandangan begitu terhadapku?” detik hati Haura.
“Atau dia sahaja memperli diriku?” Haura masih berteka-teki.
“Oh ya. Abang hendak menyambung pertanyaan tadi. Apakah istimewanya seorang perempuan?” Abang Kamal cuba mengorek isihati Haura.
“Soalan yang mencabar,” komen Haura pantas. Dia tidak terus menjawab kerana padanya soalan itu memang mengelirukan. Banyak aspek yang perlu dikaji. Adakah dia perlu menjawab sebagai seorang perempuan ataupun pandangannya ke atas seorang perempuan? Keliru. Sungguh mengelirukan!
“Saya rasa perempuan adalah seorang yang membosankan. Perlu sentiasa ada sifat malu, lemah-lembut dan penuh kepura-puraan,” luah Haura. Kamal tidak terus menjawab. Dia tersenyum meleret membuatkan Haura ternanti-nanti bait-bait perkataan seterusnya.
“Yang pertama dan kedua, abang bersetuju. Tetapi nampaknya yang ketiga itu, perlu diterangkan dengan lebih lanjut,” Kamal membalas.
“Mengapa pula?” Haura tersentak.
“Adakah benar perempuan bersifat kepura-puraan?” Kamal inginkan penjelasan.
“Benar. Bersifat malu di hadapan lelaki tetapi hipokrit. Tidak menampakkan sifat sebenar. Suka pula mengumpat dan mengalah kepada lelaki,” tegas kata-kata Haura.
“Seorang perempuan wajib mempunyai tiga sifat iaitu malu, kedekut dan cemburu,” terang Kamal. Haura memandang wajah Kamal. Dia tidak pernah mendengar kata-kata demikian. Kamal bangun dan kakinya menguis daun-daun kering di belakang rumah itu.


Kisah ini dipetik dari novel remaja terbaru yang bertajuk “Haura Harry”. Tunggu kemunculannya nanti dan bacalah kisah ini seterusnya. Sebuah novel yang menceritakan kisah seorang tomboy tetapi akhirnya insaf. Kembali ke fitrahnya, seorang perempaun sesudah menyedari betapa istimewanya dilahirkan sebagai seorang perempuan. Seorang perempuan yang sangat mendambakan kasih-sayang dan perlindungan. Abang Kamal adalah lelaki yang memberinya semangat untuk berubah. Abang Kamal merupakan sumber inspirasinya. Ikuti kisah selanjutnya…

Para remaja sekelian, jangan lepaskan peluang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 bermula 24 Mac 2006 hingga 2 April 2006 di PWTC Kuala Lumpur. Dapatkan buku-buku hebat yang diterbitkan oleh PTS Publication & Dist.

Monday, March 06, 2006

Terfikir-fikir...

Tiba-tiba terfikir untuk mencari maklumbalas dari beberapa pihak. Selepas berbincang dengan mentor tersayang, saya dan suami bercadang menulis satu set buku motivasi dengan tema berikut:
1) Kisah Budak Gemuk - dilema yang dilalui oleh remaja gemuk. Di sini cerita ini diharap dapat memberi semangat kepada mereka yang gemuk bahawa tubuh bukanlah halangan hendak berjaya. Kejayaan adalah dari dalam diri dan diiringi doa. Tetapi AWAS..bagi yang gemuk haruslah ada niat hendak menurunkan berat badan supaya penyakit sukar hinggap pada diri kita. Kami juga memberi beberapa petua ringkas bagi remaja hendak menurunkan berat badan. Terdapat kaedah diajar bagi pelajar yang ingin menubuhkan kumpulan belajar "Study group" supaya tidak menjadi Bollywood.com. Apa itu Bollywood.com? Haa..Apabila buku ini siap dan berada di pasaran, bolehlah anda semua mendapat jawapannya...Tungguuu

2)Kisah Anak Mangsa Cerai- walaupun anda merupakan anak mangsa perceraian, itu bukanlah satu halangan hendak berjaya di dalam hidup. Kisah ini merupakan satu kisah benar bagaimana seorang remaja perempuan yang menderita kerana perceraian ibubapanya sewaktu dia berumur lapan tahun. Tetapi masih boleh berjaya. Jangan mudah merendah diri..Kisah ini membantu remaja yang pernah mengalami nasib yang sama agar jangan mudah terjerumus ke dalam lembah yang hina kerana kecewa dengan ibubapa.

3)Kisah Anak Angkat- Anak angkat juga boleh berjaya walaupun mengalami dilema yang hebat. Kasih sayang terjadi di mana-mana asalkan ada keihklasan. Bukan semestinya datang dari ibubapa sendiri sahaja. Sekiranya anda baru mengetahui anda adalah anak angkat, jangan terus melarikan diri jauh dari keluarga angkat. Kisah ini juga satu kisah benar..Belum mula tetapi plot sudah ada...

4)Kisah Budak Berpenyakit - jangan berputus asa sekiranya anda berpenyakit. Kejayaan tetap milik anda. Kisah benar seorang remaja lelaki yang berpenyakit dari kecil dan menjadi yatim piatu tetapi tetap tegal di dalam menempuh hidup. Ini pun belum mula tetapi plotnya sudah ada..Alamak! Tidak cukup tangan dibuatnya. Sempatkah siap dalam tahun ini? Janganlah sifu marah..HeHehehe..

5) Kisah Budak Lembik- dia bukan berpenyakit tetapi lembik dan selalu diejek kawan-kawan. Tetapi dia berjaya membuktikan dia berjaya mendapat 5A di dalam UPSR dan 9A 3B di dalam UPSRI. Hebat bukan? Jangan ingat orang yang lembik tidak dapat berjaya. Dan sekarang dia akan buktikan dia juga hebat seperti orang lain dan dia memang sudah aktif di sekolah. Seorang pelukis yang hebat dan bercita-cita menjadi seorang pereka dalaman..pakar lagi.

6) Kisah terakhir...Kisah Budak Lelaki Lembut- Ini kisah sensasi. Sudah menjadi satu trend yang kurang sihat di kalangan remaja kita. Krisis identiti?? Mana mungkin lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya. Kisah ini adalah kisah benar juga. Buku ini membantu remaja yang mengalami masalah ini agar berubah dan menyedari betapa hebatnya dijadikan sebagai lelaki. Apa ada pada lelaki? Banyak kelebihannya. Kita lihat nanti bagaimana perasaannya terhadap perempuan..sebenarnya tetap ada kerana itu adalah fitrah manusia.

Jadi? Ini adalah perancangan dan kami sedang menulis episod-episod yang berkaitan. Remaja yang ada idea, sila tinggalkan mesej anda. Atau anda ada kisah-kisah menarik untuk dikongsi bersama? Beritahu kami..

Wednesday, March 01, 2006

Hadiah Buat Remaja- Novel Motivasi

Selamat Datang ke blog Mutiara Buat Remaja

Setiap hari saya sudah mula menulis selepas mendapat bimbingan dari mentor tersayang, Sifu PTS Puan Ainon Mohd. Dan saya berasa gembira kerana usaha saya kini sudah menjadi REALITI..Buku-buku yang saya fokuskan adalah mengenai remaja. Novel-novel motivasi mengisahkan bahawa setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri. Walaupun rintangan dan dugaan melanda, namun setiap insan berpeluang mengharungi hidup dan mendapat kedudukan yang lebih baik.