Monday, January 14, 2008

Petikan dari web sifu PTS

Strategi ‘survive’ Dahulu, Baru Kemudian Fikirkan ‘sastera’

Kita berpeluang berbual-bual dengan seorang pensyarah universiti yang juga mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kata beliau, "Nasib baik kami mempunyai pekerjaan bergaji, jika tidak, di kalangan penulis kreatif, golongan kami adalah yang paling 'miskin'." Mantan peserta MPR itu merujuk kepada pendapatan yang diperoleh daripada royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis sastera, dibandingkan dengan penulis-penulis novel-novel popular.
"Novel saya cuma mendapat royalti RM600, selepas 3 tahun terbit," katanya lagi.
Isu pendapatan (income) penulis adalah isu yang tidak habis-habis mencetuskan keluh-kesah di kalangan pengarang sastera. Pendapatan penulis boleh datang daripada pelbagai punca, bukan hanya terhad pada royalti dan honorarium karya sastera yang mereka hasilkan.
Kepada mentee-mentee Sifu yang mahu menjadi sasterawan, ini pesan Sifu.
Naikkan nama saudara berfasa-fasa, macam orang naik tangga. Jangan terus hendak mengukir nama sebagai "sasterawan".
Dalam fasa pertama: Hasilkan karya-karya yang dapat ditulis dengan cepat, dan laku, serta evergreen. Tulislah novel-novel bermutu tinggi untuk pasaran remaja awal dan remaja. Jika 1 novel remaja dapat menghasilkan RM3 ribu setahun, tulis 10 novel remaja. Dengan itu saudara mendapat royalti RM30 ribu setahun.
Kemudian, masuk fasa kedua: Tulis 7 judul novel remaja, dan 1 judul novel sastera.
Masuk fasa ketiga: Tulis 4 novel remaja dan 2 novel sastera.
Fasa keempat: Pada fasa ini, saudara sudah mampu menulis apa-apa karya sastera yang saudara suka, sebab royalti daripada 21 buah novel remaja itu sudah membolehkan saudara survive.
Kalau pada masa itu saudara tidak mahu menulis lagi pun tidak mengapa kerana pendapatan daripada royalti karya-karya evergreen saudara cukup bagi membolehkan saudara hidup selesa.

Nota: Rejab FI adalah contoh penulis novel-novel remaja yang temanya evergreen sehinggakan selepas 30 tahun diterbitkan, novel-novel beliau masih dapat diterbitkan semula dan laku dijual.
Kini Pak Rejab sudah bersara daripada menulis novel tetapi setiap tahun royalti beliau daripada PTS masih mengalir masuk ke dalam akaun banknya.
Karya-karya beliau dahulu diterbitkan oleh penerbit lain, tetapi kemudian selepas dicetak sekali karya-karyanya itu tidak ulang cetak lagi. Beliau kemudian mendapatkan semula hak penerbitan karya-karyanya itu dan menyerahkannya kepada PTS supaya dinilai judul-judul yang mana yang sesuai diterbitkan semula untuk pasaran semasa. PTS memilih 11 judul.

No comments: