Tuesday, March 04, 2008

PTS M-book temui pembaca karya kreatif Malaysia



Oleh: Wartawan Berita Harian, Shaidah Shafie


Kaedah terbaru bolehkan kandungan buku dibaca melalui khidmat pesanan ringkas telefon bimbit KANDUNGAN sesebuah buku kini boleh dibaca menggunakan sistem pesanan ringkas di telefon genggam melalui kaedah mobile book (m-book) atau buku telefon bimbit dan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS Publications) kini memanfaatkan kaedah itu.
PTS Publications yang mendapat kerjasama teknikal daripada Metadome Sdn Bhd (Metadome) sudah mula menggunakan pendekatan m-book untuk novel terbitan syarikat itu, Aku Mahu Popular karya Ain Maisarah.


Pengarah Eksekutif Metadome, Syaizul Amal Zalkafli, berkata percubaan menerbitkan Aku Mahu Popular karya Ain Maisarah menggunakan kaedah m-book selama dua bulan menunjukkan ia mendapat sambutan hangat. “Sambutan yang diterima dalam tempoh percubaan itu menyebabkan buku dengan 30 halaman itu akhirnya berkembang dan diputuskan diterbitkan secara m-book oleh penerbitnya serta akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008,” katanya pada sesi taklimat m-book di Kuala Lumpur, kelmarin. Sembilan puluh sembilan lagi novel remaja lain dalam bentuk m-book terbitan syarikat terbabit akan turut dilancarkan pada pesta terbabit antaranya ialah Budak Psikik, Kaki Bola, Misi Piramid, Untuk Syampoo, Cinta Laksa dan Ubi, Mekar Sakura di Mimbar Cinta, Sindrom VX dan Yong Tau Foo.


Pesta selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula 4 April ini turut disertai 185 syarikat yang membabitkan 125 milik tempatan, 37 agensi kerajaan dan 23 dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, India, Pakistan, Mesir, Australia serta United Kingdom. Muat turun bahan bacaan melalui telefon genggam begitu terkenal di Jepun dan penyelidikan di negara matahari terbit itu menunjukkan lima judul buku yang menduduki senarai teratas dalam carta pilihan penggemar adalah yang diterbitkan dalam bentuk m-book.


Syaizul Amal menjelaskan, m-book dilengkapi dengan pelbagai ciri multimedia dan jalur interaktif serta berupaya memenuhi selera pembaca yang sentiasa ingin mendapatkan maklumat dalam masa pantas dan mutakhir. Melalui kaedah m-book, khalayak berpeluang melihat paparan grafik dan mendengar bunyi yang boleh mencetuskan kesan pembacaan lebih menarik serta memudahkan mereka memuat turun senarai terkini bahan bacaan di pasaran.
“Proses muat turun akan berlaku dalam masa beberapa saat. Semua jenis talian boleh digunakan untuk membaca novel melalui telefon genggam anda. Bagaimanapun, proses ini tertakluk kepada liputan kawasan rangkaian talian telefon anda,” katanya. Selain itu, pembaca boleh menikmati paparan kertas hiasan, nada dering, nada dering bergambar, klip video, kad ucapan, animasi, karaoke, aplikasi Java, permainan Java, mesej bergambar, logo operator dan pesanan bersuara. Khalayak yang menggunakan kemudahan m-book PTS Publications hanya dikenakan RM5 untuk setiap muat turun manakala perkhidmatan paparan perhiasan skrin pula dikenakan RM3. Syaizul berkata, kumpulan sasar m-book adalah khalayak berusia 12 hingga 24 tahun kerana pada usia berkenaan mereka sudah berkemahiran menggunakan kemudahan elektronik terutama telefon genggam yang sudah menjadi budaya penting dalam masyarakat.


“Perkembangan maklumat dan ilmu yang bermula dengan kaedah cetakan pada 1400 mencatat perubahan pantas. Daripada cetakan beralih kepada pawagam, radio dan televisyen, sebelum disusuli dengan laman web. “Kemuncak kepada penyebaran maklumat ialah dengan kehadiran telefon genggam dan Metadome bersama-sama PTS Publications memanfaatkan kemudahan ini dengan berusaha memenuhi permintaan pembaca novel,” ujarnya.
Oleh: WanZu

3 comments:

Nina said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

helo dan salam perkenalan,
nama saya ainin sofiya dan berusia 12 tahun.saya juga pengunjung baru blog akak ni....

Rizyani said...

Terimakasih kpd ainin dan sara. Semoga terus sudi ziarah ke sini.