Sunday, March 12, 2006

Novel yang akan terbit..istimewa

“Bagus. Abang suka cara awak menyatakan pendirian. Awak ada prinsip tersendiri. Awak memang seorang yang istimewa,” kata-kata Kamal menyentuh hati Haura.
“Istimewa? Ikhlaskah dia berpandangan begitu terhadapku?” detik hati Haura.
“Atau dia sahaja memperli diriku?” Haura masih berteka-teki.
“Oh ya. Abang hendak menyambung pertanyaan tadi. Apakah istimewanya seorang perempuan?” Abang Kamal cuba mengorek isihati Haura.
“Soalan yang mencabar,” komen Haura pantas. Dia tidak terus menjawab kerana padanya soalan itu memang mengelirukan. Banyak aspek yang perlu dikaji. Adakah dia perlu menjawab sebagai seorang perempuan ataupun pandangannya ke atas seorang perempuan? Keliru. Sungguh mengelirukan!
“Saya rasa perempuan adalah seorang yang membosankan. Perlu sentiasa ada sifat malu, lemah-lembut dan penuh kepura-puraan,” luah Haura. Kamal tidak terus menjawab. Dia tersenyum meleret membuatkan Haura ternanti-nanti bait-bait perkataan seterusnya.
“Yang pertama dan kedua, abang bersetuju. Tetapi nampaknya yang ketiga itu, perlu diterangkan dengan lebih lanjut,” Kamal membalas.
“Mengapa pula?” Haura tersentak.
“Adakah benar perempuan bersifat kepura-puraan?” Kamal inginkan penjelasan.
“Benar. Bersifat malu di hadapan lelaki tetapi hipokrit. Tidak menampakkan sifat sebenar. Suka pula mengumpat dan mengalah kepada lelaki,” tegas kata-kata Haura.
“Seorang perempuan wajib mempunyai tiga sifat iaitu malu, kedekut dan cemburu,” terang Kamal. Haura memandang wajah Kamal. Dia tidak pernah mendengar kata-kata demikian. Kamal bangun dan kakinya menguis daun-daun kering di belakang rumah itu.


Kisah ini dipetik dari novel remaja terbaru yang bertajuk “Haura Harry”. Tunggu kemunculannya nanti dan bacalah kisah ini seterusnya. Sebuah novel yang menceritakan kisah seorang tomboy tetapi akhirnya insaf. Kembali ke fitrahnya, seorang perempaun sesudah menyedari betapa istimewanya dilahirkan sebagai seorang perempuan. Seorang perempuan yang sangat mendambakan kasih-sayang dan perlindungan. Abang Kamal adalah lelaki yang memberinya semangat untuk berubah. Abang Kamal merupakan sumber inspirasinya. Ikuti kisah selanjutnya…

Para remaja sekelian, jangan lepaskan peluang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 bermula 24 Mac 2006 hingga 2 April 2006 di PWTC Kuala Lumpur. Dapatkan buku-buku hebat yang diterbitkan oleh PTS Publication & Dist.

No comments: