Thursday, November 02, 2006

Minta Dari Allah..apa saja




Kisah Satu


Ceritanya begini.."Pada suatu hari, abang menghantar penumpang ke Kota Tinggi. Hari sudah petang dan abang terpaksa pulang seorang diri ke Kuantan. Jalan yang tidak biasa abang lalui dan keadaan teksi yang tidak begitu baik. Perjalanan yang jauh itu diduga begitu hebat," begitulah Abang Dolah membuka cerita. Hanif mendengar begitu khusyuk. "Semasa di dalam perjalanan, abang terpaksa memandu dengan gear 3 sahaja. Cuba kamu bayangkan," sambung Abang Dolah. Hanif memandang wajah Abang Dolah dengan tepat. "Tidak letihkah?" Hanif bertanya. "Siapa kata tidak penat? Sudahlah seorang, hari semakin gelap," Abang Dolah meninggikan suaranya. Hanif semkin teruja untuk mendengar kisah seterusnya. "Abang ternampak wokshop yang masih dibuka dan menurut mekanik, perlu ambil masa 3 hari untuk membaikinya," Abang Dolah meneguk minuman di hadapannya.

"Jadi abang terpaksa juga meneruskan perjalanan dan merentasi hutan yang sememangnya digeruni pemandu apabila tiba waktu malam," suara Abang Dolah menyebabkan wajah Hanif berkerut. "Beraninya abang, ya. Jikalau saya, entahlah," tingkah Hanif. "Terpaksa demi mencari rezeki," Abang Dolah membalas.
"Memanglah berdiri juga bulu roma abang. Tambahan pula kereta masih buat hal," Abang Dolah menyambung. "Ada benda pelikkah?" Hanif ingin tahu. Abang Dolah tersenyum. "Biasalah. Abang berhenti sebentar solat di sebuah surau dan di situ terlintas di hati abang, mengapa abang terlalu berharap kepada mekanik tadi untuk menyelesaikan masalah abang? Mengapa abang tidak meminta dari Allah?" Abang Dolah menarik nafas.
"Lantas abang solat Jamak/Qasar dan solat hajat 2 rakaat. Minta dari Allah, bantulah abang yang sedang di dalam kesusahan," terang Abang Dolah. "Selepas itu?" Hanif tidak sabar. "Abang meneruskan perjalanan sesudah selesai bersolat hajat," ujar Abang Dolah.
"Kamu tahu apa yang berlaku?" Abang Dolah sengaja menguji Hanif. Hanif menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang Dolah ketawa kecil. "Dengan izin Allah, kereta abang tiada masalah lagi. Boleh pandu sehingga gear 5. Cuba kamu bayangkan. Memang ajaib," kata Abang Dolah. Hanif terpedun. "Benarkah?" Hanif seolah-olah tidak percaya.
Moral: Di dalam apa jua keadaan, mintalah dari Allah. Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Menyayangi. Mintalah apa sahaja hajat, nescaya Allah akan bantu. Tidak membiarkan diri kita keseorangan. Oleh itu, sekiranya adik-adik remaja menghadapi masalah atau inginkan apa sahaja, solat Hajat 2 rakaat. Minta secara spesifik hajat adik-adik semua.

No comments: