Monday, November 13, 2006

Minta dari ALLAH..apa saja

Kisah Dua

Seorang pelajar madrasah Al Quran duduk termangu di pangkin bawah pokok mangga. Dia kelihatan sedih. Tanpa disedarinya, seorang lelaki yang agak berumur menyapanya. "Hah. Mengapa pula kamu ini? Sedih sangat nampaknya," sapa Pak Man lalu duduk disebelahnya. "Oh, Pak Man," pelajar yang dipanggil Umar tersengih lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam.
"Apa yang sudah berlaku?" Pak Man ingin tahu.
"Saya hendak pulang ke kampung. Ayah saya sakit tenat," ujar Umar. Pak Man sedikit tersentak.
"Habis, mengapa kamu masih di sini?" Pak Man agak hairan.
"Saya memang hendak pulang tetapi," ayatnya terhenti di situ.
Apa pula tetapi? Cakaplah sebabnya," gesa Pak Man.
"Saya tiada duit hendak pulang ke kampung," terang Umar. Pak Man melepaskan keluhan.
"Pak Man kasihan betul dengan kamu ini. Ini ada sedikit duit buat kamu. Hendak beri banyak pun, kamu bukan tidak tahu, Pak Man pun tidak mampu," Pak Man menghulurkan wang lima ringgit.
"Tidak perlu, Pak Man. Saya tahu keadaan Pak Man dan selama inipun Pak Man yang banyak membantu saya," Umar keberatan untuk menerima duit itu kerana dia memang arif yang Pak Man ada ramai anak dan isterinya pula sakit. Setakat bekerja mengambil upah menebas dan memotong getah, berapa sangat pendapatan Pak Man.
"Ambillah," Pak Man meletakkan wang itu ke dalam poket jubah Umar. Umar tidak dapat menolaknya lagi.
"Terima kasih, Pak Man," kelihatan air mata bergenang di kelopak mata Umar.
"Doa banyak-banyak agar Allah bantu kamu. Pak Man harus pergi sekarang. Anak Pak Man sedang menunggu," Pak Man bangun dan menggosok kepala Umar yang dianggapnya seperti anak sendiri itu. Umar tersenyum tawar. Dia bangun perlahan-lahan dan menuju ke tempat wuduk. Dia mengambil wuduk dan naik semula ke surau untuk solat hajat 2 rakaat. Dia memohon pertolongan dari Allah supaya dia dapat pulang ke kampung dan menjenguk ayahnya. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan harapannya memang sangat tinggi. Dia menyapu airmatanya yang semakin deras itu.
Tiba-tiba, dia terasa bahunya dipegang. Dia memalingkan wajahnya.
"Kamu di sini rupanya. Pakcik puas cari kamu di asrama tadi," sapa Haji Yasin. Siapa yang tidak kenal dengan Haji Yasin, orang kaya di kawasan itu tetapi orangnya sangat rendah hati.
"Ini ada sedikit hadiah dari pakcik buat kamu," Haji Yasin menghulurkan sampul surat kepada Umar.
"Apakah ini, pakcik?" Umar bertanya.
"Ini ada sedikit duit buat kamu. Pakcik sudah lama berhajat untuk memberi hadiah ini kerana pakcik mendapat untung di dalam perniagaan pakcik baru-baru ini.
"Tidak mengapa. Saya tidak boleh menerimanya," Umar menolaknya dengan baik.
"Kamu ambillah kerana setiap pelajar di sini, pakcik sudah memberinya. Kamu doalah supaya hidup pakcik dirahmati Allah. Doa pelajar seperti kamu yang belajar agama ini, sangat mustajab," ujar Haji Yasin.
"Terima kasih," balas Umar lembut. Sebenarnya dia berasa bingung dan terpegun kerana doanya sudah dimakbulkan Allah. Selepas Haji Yasin beredar, Umat membuka sampul surat itu.
"Tiga ratus?" Umar ternganga. Airmatanya menitis lagi.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Menyayangi," kata Umar. Dia bergegas keluar untuk mengambil beg pakaiannya dan meminta kebenaran danri gurunya untuk pulang. Itulah kehebatan solat hajat.

MORAL: Mintalah apa sahaja dari Allah kerana anugerah Allah itu sangat luas dan tanpa had.

No comments: