Monday, November 20, 2006

7 SIKAP REMAJA ISLAM YANG BERJAYA

Entri ini diterjemah dari artikel yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris oleh Altaf Hussain

1. Bersikap JUJUR/ BENAR
2. Sentiasa AMANAH
3. Sedar dengan kewujudan ALLAH di mana-mana
4. FOKUS dengan apa yang dilakukan
5. TEPAT
6. KONSISTEN
7. BERHATI-HATI

Kini KU lebih mengerti




Sayangi ANAK YATIM


Pengalaman hidup bersama anak-anak yatim selama dua tahun membuatkan saya lebih mengerti mengapa Allah s.w.t. memerintahkan umat manusia mengasihi anak-anak yatim. Saya mula memahami kehidupan mereka selepas suami saya berkhidmat dengan satu pertubuhan anak-anak yatim yang mempunyai penghuni seramai dua puluh orang.


Pelbagai pengalaman menarik berlaku dan tidak juga ketinggalan lebih banyak yang membuatkan hati kita sebak dan sayu. Saya mula mengerti mengapa ramai di antara mereka bersikap rendah diri, kurang keyakinan dan ada yang suka memberontak. Saya mula mengerti mengapa Baginda Rasulullah s.a.w suka membelai dan mengusap anak-anak yatim.


Mereka perlukan perhatian. Mereka perlukan sokongan. Mereka perlukan bimbingan. Hati mereka tulus kerana mereka sangat mendambakan kasih-sayang dari orang-orang di sekitar mereka. Tetapi mereka akan menjadi orang yang cemerlang dan hebat sekiranya diberikan perhatian yang sewajarnya. Mereka juga perlu dimarahi atas kesalahan yang mereka lakukan supaya mereka menerima pelajaran yang sepatutnya.


Oelh itu, suka saya menyeru kepada semua sekiranya tahu mengenai kewujudan pertubuhan anak-anak yatim khususnya yang kurang dikenali ramai, pergilah menziarahi mereka dan dekati diri mereka. Banyak perkara yang menginsafkan dapt dipelajari di sana. Selepas itu mungkin kita tahu bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan kepada kita. Bersyukurlah sentiasa kerana Allah akan menambahkan nikmat yang melimpah -ruah kepada kita. Sekiranya ada rezeki yang lebih, berkongsilah dengan mereka kerana di dalam rezeki kita, terdapat hak orang lain di dalamnya.

Monday, November 13, 2006

Minta dari ALLAH..apa saja

Kisah Dua

Seorang pelajar madrasah Al Quran duduk termangu di pangkin bawah pokok mangga. Dia kelihatan sedih. Tanpa disedarinya, seorang lelaki yang agak berumur menyapanya. "Hah. Mengapa pula kamu ini? Sedih sangat nampaknya," sapa Pak Man lalu duduk disebelahnya. "Oh, Pak Man," pelajar yang dipanggil Umar tersengih lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam.
"Apa yang sudah berlaku?" Pak Man ingin tahu.
"Saya hendak pulang ke kampung. Ayah saya sakit tenat," ujar Umar. Pak Man sedikit tersentak.
"Habis, mengapa kamu masih di sini?" Pak Man agak hairan.
"Saya memang hendak pulang tetapi," ayatnya terhenti di situ.
Apa pula tetapi? Cakaplah sebabnya," gesa Pak Man.
"Saya tiada duit hendak pulang ke kampung," terang Umar. Pak Man melepaskan keluhan.
"Pak Man kasihan betul dengan kamu ini. Ini ada sedikit duit buat kamu. Hendak beri banyak pun, kamu bukan tidak tahu, Pak Man pun tidak mampu," Pak Man menghulurkan wang lima ringgit.
"Tidak perlu, Pak Man. Saya tahu keadaan Pak Man dan selama inipun Pak Man yang banyak membantu saya," Umar keberatan untuk menerima duit itu kerana dia memang arif yang Pak Man ada ramai anak dan isterinya pula sakit. Setakat bekerja mengambil upah menebas dan memotong getah, berapa sangat pendapatan Pak Man.
"Ambillah," Pak Man meletakkan wang itu ke dalam poket jubah Umar. Umar tidak dapat menolaknya lagi.
"Terima kasih, Pak Man," kelihatan air mata bergenang di kelopak mata Umar.
"Doa banyak-banyak agar Allah bantu kamu. Pak Man harus pergi sekarang. Anak Pak Man sedang menunggu," Pak Man bangun dan menggosok kepala Umar yang dianggapnya seperti anak sendiri itu. Umar tersenyum tawar. Dia bangun perlahan-lahan dan menuju ke tempat wuduk. Dia mengambil wuduk dan naik semula ke surau untuk solat hajat 2 rakaat. Dia memohon pertolongan dari Allah supaya dia dapat pulang ke kampung dan menjenguk ayahnya. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan harapannya memang sangat tinggi. Dia menyapu airmatanya yang semakin deras itu.
Tiba-tiba, dia terasa bahunya dipegang. Dia memalingkan wajahnya.
"Kamu di sini rupanya. Pakcik puas cari kamu di asrama tadi," sapa Haji Yasin. Siapa yang tidak kenal dengan Haji Yasin, orang kaya di kawasan itu tetapi orangnya sangat rendah hati.
"Ini ada sedikit hadiah dari pakcik buat kamu," Haji Yasin menghulurkan sampul surat kepada Umar.
"Apakah ini, pakcik?" Umar bertanya.
"Ini ada sedikit duit buat kamu. Pakcik sudah lama berhajat untuk memberi hadiah ini kerana pakcik mendapat untung di dalam perniagaan pakcik baru-baru ini.
"Tidak mengapa. Saya tidak boleh menerimanya," Umar menolaknya dengan baik.
"Kamu ambillah kerana setiap pelajar di sini, pakcik sudah memberinya. Kamu doalah supaya hidup pakcik dirahmati Allah. Doa pelajar seperti kamu yang belajar agama ini, sangat mustajab," ujar Haji Yasin.
"Terima kasih," balas Umar lembut. Sebenarnya dia berasa bingung dan terpegun kerana doanya sudah dimakbulkan Allah. Selepas Haji Yasin beredar, Umat membuka sampul surat itu.
"Tiga ratus?" Umar ternganga. Airmatanya menitis lagi.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Menyayangi," kata Umar. Dia bergegas keluar untuk mengambil beg pakaiannya dan meminta kebenaran danri gurunya untuk pulang. Itulah kehebatan solat hajat.

MORAL: Mintalah apa sahaja dari Allah kerana anugerah Allah itu sangat luas dan tanpa had.

Wednesday, November 08, 2006

Hadiahkan Buat Guru-guru Anda


Ingati jasa guru-guru anda...Hadiahkan buku-buku yang istimewa ini dan julung-julung kali diterbitkan di Malaysia. Dapatkan secara terus dari PTS Publication. Banyak cerita-cerita menarik yang dipaparkan berdasarkan pengalaman sebenar. Jangan tunggu lagi...

Thursday, November 02, 2006

Akan Terbit...GIM



Akan terbit...Novel remaja baru. Gemuk Itu Menarik.
Mengisahkan budak perempuan gemuk bernama Najwa dalam menjalani kehidupan sehariannya di rumah dan di sekolah. Najwa sering menjadi bahan usikan dan ejekan rakan-rakan di sekolahnya.Walaupun sering menjadi ejekan rakan-rakan, Najwa tetap tabah menghadapi dugaan itu. Selepas mengikuti satu kem motivasi anjuran pelajar-pelajar UIA, Najwa lebih bersemangat dalam segala tindakannya. Dorongan dan nasihat daripada guru kaunseling sekolahnya, membuatkan Najwa lebih yakin dan bersyukur dengan bentuk fizikalnya tanpa menyalahkan takdir. Selain itu, kehadiran seorang pelajar baru bernama Faiz, turut menceriakan hidupnya. Faiz juga menghadiahkan sebuah buku bertajuk Panduan Pemakanan Sihat kepada Najwa pada hari lahirnya.Akhirnya, berkat daripada usaha dan semangat yang kental, Najwa berjaya menurunkan berat badannya secara perlahan-lahan. Najwa kini mempunyai ramai peminat meskipun dahulu menjadi bahan cemuhan rakan-rakan.
Harga: RM 13.00 / RM 16.00 (Sabah & Sarawak)

Minta Dari Allah..apa saja




Kisah Satu


Ceritanya begini.."Pada suatu hari, abang menghantar penumpang ke Kota Tinggi. Hari sudah petang dan abang terpaksa pulang seorang diri ke Kuantan. Jalan yang tidak biasa abang lalui dan keadaan teksi yang tidak begitu baik. Perjalanan yang jauh itu diduga begitu hebat," begitulah Abang Dolah membuka cerita. Hanif mendengar begitu khusyuk. "Semasa di dalam perjalanan, abang terpaksa memandu dengan gear 3 sahaja. Cuba kamu bayangkan," sambung Abang Dolah. Hanif memandang wajah Abang Dolah dengan tepat. "Tidak letihkah?" Hanif bertanya. "Siapa kata tidak penat? Sudahlah seorang, hari semakin gelap," Abang Dolah meninggikan suaranya. Hanif semkin teruja untuk mendengar kisah seterusnya. "Abang ternampak wokshop yang masih dibuka dan menurut mekanik, perlu ambil masa 3 hari untuk membaikinya," Abang Dolah meneguk minuman di hadapannya.

"Jadi abang terpaksa juga meneruskan perjalanan dan merentasi hutan yang sememangnya digeruni pemandu apabila tiba waktu malam," suara Abang Dolah menyebabkan wajah Hanif berkerut. "Beraninya abang, ya. Jikalau saya, entahlah," tingkah Hanif. "Terpaksa demi mencari rezeki," Abang Dolah membalas.
"Memanglah berdiri juga bulu roma abang. Tambahan pula kereta masih buat hal," Abang Dolah menyambung. "Ada benda pelikkah?" Hanif ingin tahu. Abang Dolah tersenyum. "Biasalah. Abang berhenti sebentar solat di sebuah surau dan di situ terlintas di hati abang, mengapa abang terlalu berharap kepada mekanik tadi untuk menyelesaikan masalah abang? Mengapa abang tidak meminta dari Allah?" Abang Dolah menarik nafas.
"Lantas abang solat Jamak/Qasar dan solat hajat 2 rakaat. Minta dari Allah, bantulah abang yang sedang di dalam kesusahan," terang Abang Dolah. "Selepas itu?" Hanif tidak sabar. "Abang meneruskan perjalanan sesudah selesai bersolat hajat," ujar Abang Dolah.
"Kamu tahu apa yang berlaku?" Abang Dolah sengaja menguji Hanif. Hanif menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang Dolah ketawa kecil. "Dengan izin Allah, kereta abang tiada masalah lagi. Boleh pandu sehingga gear 5. Cuba kamu bayangkan. Memang ajaib," kata Abang Dolah. Hanif terpedun. "Benarkah?" Hanif seolah-olah tidak percaya.
Moral: Di dalam apa jua keadaan, mintalah dari Allah. Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Menyayangi. Mintalah apa sahaja hajat, nescaya Allah akan bantu. Tidak membiarkan diri kita keseorangan. Oleh itu, sekiranya adik-adik remaja menghadapi masalah atau inginkan apa sahaja, solat Hajat 2 rakaat. Minta secara spesifik hajat adik-adik semua.