Sunday, October 07, 2007

JJKK dalam Berita Harian Sabtu 6 Oktober 2007-Komen

Jalan Jauh Ke Kampus

Oleh Salbiah Ani

mailto:Anidahiya@nstp.com.my



Novel Islam perbetul salah tanggapan terhadap sekolah tahfiz secara menyeluruh JALAN Jauh Ke Kampus karya Ida Rizyani Tahir tampil sebagai novel berciri Islam yang cuba membetulkan pandangan serong segelintir masyarakat termasuk umat Islam terhadap sekolah dan pelajar tahfiz selain memartabatkan institusi terbabit pada tempat sewajarnya. Novel setebal 332 halaman terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd berharga RM21 senaskhah ini menampilkan Farid Azhar sebagai protagonis yang berjiwa kental dalam usahanya mencapai impian untuk menjadi seorang tahfiz dan serentak itu turut menguasai ilmu duniawi.

Anak bongsu kepada pasangan Encik Lokman dan Puan Halimah ini menyuarakan hasrat melanjutkan pelajaran di Madrasah Randhatul Hasanah di Kuantan meskipun mengetahui dua abangnya, Fahmi dan Faizal mahupun kakaknya, Fauziah cemerlang dalam bidang akademik selain berjaya dalam kerjaya masing-masing. Puan Halimah yang pada mulanya bimbang dengan keputusan anaknya itu akhirnya mengalah selepas suaminya memberi sokongan kepada Farid dan tindakan Pakcik Rashid melarang remaja itu daripada menjadi muazin menguatkan lagi kesungguhannya mendalami bidang terbabit. Bagaimanapun hasratnya itu tidak terlaksana dengan mudah apabila terpaksa mendepani pelbagai hambatan termasuk kematian ayah, ibu dan abang yang tua, Faizal, hampir meleburkan usahanya untuk meraih impian kerana tertekan dengan pelbagai dugaan Ilahi itu.

Sebagai anak manja, Farid pada mulanya tidak dapat menyesuaikan diri apabila terpaksa tinggal di asrama yang memerlukannya berdikari di samping kegarangan Abang Ustaz, salah seorang tenaga pengajar di Madrasah Raudhatul Hasanah, hampir mematahkan semangatnya. Bagaimanapun dorongan yang diberikan Fauziah akhirnya mengembalikan semangat Farid dan keupayaannya melihat sikap sebenar Abang Ustaz atau Raja Bersiung seperti digelar pelajar senior Madrasah Raudhatul Hasanah akhirnya membantunya memanfaatkan kehadirannya di sekolah terbabit. Abang Ustaz atau nama sebenarnya Bahrain, rupa-rupanya bukan saja pelajar senior di Madrasah Raudhatul Hasanah, tetapi juga guru dan tukang masak di sekolah berkenaan yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu masa bagi menanggung pengajiannya kerana kebetulan beliau yatim piatu.
Pembaca turut dihanyutkan dengan kemuliaan hati Abang Ustaz yang sanggup bersengkang mata menjaga pelajar yang sakit termasuk Fahrin apabila diserang asma meskipun hakikat jadual hariannya ketat sehingga akhirnya pelajar itu menghargai beliau. Ketika menunaikan umrah bersama keluarga, Fahrin berdoa di Masjidil Haram agar Abang Ustaz ditemukan jodoh dengan Fauziah, meskipun mengetahui kakaknya itu pernah menolak kemungkinan terbabit ketika remaja itu merisik secara berseloroh mengenai calon suami yang diingini gadis itu, atas alasan tidak mengenali lelaki terbabit. Impian Fahrin tertunai apabila selepas kematian ayahnya, rombongan Abang Ustaz yang meminang Fauziah diterima dengan hati terbuka oleh Puan Halimah dan ternyata beliau membuat keputusan tepat kerana lulusan tahfiz itu akhirnya menjadi tunggak kehidupan keluarganya meskipun selepas kematian ibu Fahrin. Pembaca turut dibawa menghayati penghayatan Ramadan di Masjidil Haram dengan imam tahfiz Tarawih di Makkah ditunggu-tunggu jemaah daripada pelbagai negara di seluruh dunia dan kemurahan hati kelompok kaya di negara itu bersedekah pada Ramadan.
Melalui watak Fahrin dan rakan-rakannya di sekolah tahfiz, pembaca berpeluang menyelami kelebihan mengambil secubit garam sebelum menikmati juadah makanan seperti yang diamalkan Rasulullah SAW kerana ia dapat mengelakkan 99 jenis penyakit. Sistem pengajaran di sekolah tahfiz turut diperkenalkan dalam novel ini dengan penekanan kepada kaedah menghafal al-Quran dalam suasana pengajaran tegas dan menekankan disiplin selain kegiatan riadah mahupun hubungan mereka dengan masyarakat luar di samping pengiriman pelajar tahfiz sebagai imam untuk solat Tarawih. Konflik pelajar tahfiz dengan sikap masyarakat yang memandang sistem persekolahan terbabit tidak memberi jaminan masa depan kepada lulusannya dibincangkan secara berpijak di bumi nyata lewat beberapa watak, dapat mendorong pembaca novel ini untuk memberi penilaian lebih saksama. INFO: Jalan Jauh Ke Kampus

Karya: Ida Rizyani
Harga RM21 senaskhah
Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Tebal: 332 halaman
Bintang: ***

Ahli akademik hasilkan novel IDA Rizyani Tahir menaiki tangga dunia penulisan kreatif dengan berjinak-jinak menyumbang karya kepada Dewan Pelajar dan Dewan Siswa selain menyertai Pertandingan Menulis Esei Peringkat Kebangsaan serta mengirim rencana kepada majalah tanah air. Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Utara Malaysia.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang, ini sudah menghasilkan beberapa novel dan buku umum iaitu Azam Farid, Elegi Tupai & Sepet, Haura Harry, Jalan Jauh Ke Kampus, Kerjaya Sebagai Juruaudit, GIM… Gemuk Itu Menarik dan JAY… Janji Anak Yatim. Ida Rizyani yang menjadikan membaca, melancong dan memasak sebagai hobinya turut membentangkan kertas kerja Aspirasi Pekerja Terhadap Majikan di Konferens Kebangsaan Pengurusan Sumber Manusia 2002 dan Pembangunan Model Usahawan- Teknologi (Konferens Usahawan Muslim 2007).

No comments: